KONSERTsolo sulung di DFP jadi realiti selepas 17 tahun di bidang seni.
KONSERTsolo sulung di DFP jadi realiti selepas 17 tahun di bidang seni.
Ardini Sophia Sina

KONSERT solo pastinya menjadi impian setiap penyanyi. Begitu juga Misha Omar yang sudah 17 tahun melakar nama di kanvas seni tanah air.

Siapa sangka, acara yang dahulunya hanya angan-angan akhirnya menjadi kenyataan pada Isnin lalu. Lebih menggembirakan apabila konsert solo sulungnya berlangsung di lokasi berprestij iaitu Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Dihadiri kira-kira 900 penonton, semuanya berpuas hati dengan pilihan lagu serta persembahannya. Malahan, pada akhir konsert penonton bangkit memberi penghormatan kepada Misha.

“Tujuh belas tahun bukanlah masa yang singkat. Tipu kalau saya tidak menginginkan detik ini. Sepanjang bergelar penyanyi, saya selalu berusaha memperbaiki teknik nyanyian.

“Saya pernah luahkan kepada teman rapat, ada kalanya letih dan tidak tahu perlu buat apa-apa lagi. Saya tidak pasti lagu bagaimana untuk dijadikan single. Namun, melihat senyuman dan tepukan penonton membuktikan penantian itu berbaloi.

“Saya rasa seakan-akan bermimpi. Cikgu Syafinaz dan Datuk Ramli tanya juga perasaan untuk periksa tahap gementar tetapi saya katakan pada mereka yang saya sendiri tidak tahu apa yang dirasakan. Apa yang pasti, saya sangat terharu,” katanya.

VOKAL memukau penuh penghayatan.
VOKAL memukau penuh penghayatan.

Pada malam konsert This Is Misha - Live At DFP, pemilik nama sebenar Samiha Omar ini memilih lapan lagu termasuk dua ‘medley’. Antara lagu yang dinyanyikan ialah Sampai Bila, Nafas Cahaya, Dedebu Cinta, Jawapanmu dan Bunga-bunga Cinta sebagai penutup.

Pada awal persembahan pula, Misha memilih membawakan ‘medley’ Cinta Adam & Hawa serta Sembunyi. Empat lagi lagu yang turut digabungkan adalah runut lagu Pontianak Harum Sundal Malam iaitu Pulangkan dan Ku Seru serta Semoga Abadi dan Riwayat Cinta.

Berdurasi satu jam setengah, peminat tidak puas menonton persembahan dan vokal mantap Misha. Ramai yang menginginkan wanita berusia 37 tahun itu kembali dengan konsert yang lebih besar.

“Semua pilihan lagu pada malam ini adalah berdasarkan jatuh bangun saya dalam industri sepanjang 17 tahun. Memang benar, ada banyak lagi lagu hit tetapi apa yang saya nyanyikan pada malam ini mempunyai keistimewaannya.

“Lagu inilah yang menunjukkan sisi Misha yang mungkin ada sesetengah orang tidak tahu. Apa yang saya berikan pada malam ini secukup rasa.

“Tidak kurang dan tidak berlebihan. Biarlah ia menjadi memori indah buat penonton dan membuatkan mereka rindu menantikan buah tangan baharu daripada saya,” katanya.

Satu hal lagi yang membuatkan Misha terkejut adalah tiket konsert berkenaan habis dijual dalam masa 18 jam saja. Dia cukup terharu dengan kasih sayang peminat yang tidak pernah putus menyokong perjalanan seninya.

Katanya, apa sahaja lagu yang dinyanyikan, peminat sentiasa menyokong. Malahan, pada malam itu ada peminat dari Brunei dan Singapura hadir kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan kehebatan vokal Misha.

“Memang awalnya saya seperti tidak percaya dengan sambutan yang diberikan apabila tiket habis dijual dalam masa singkat. Bukannya tidak yakin dengan peminat kerana tahu mereka sayang saya.

“Kalau ada yang cakap saya bukan yang terbaik pun, saya tidak marah kerana sehingga kini masih berusaha segala daya untuk jadi yang terbaik. Konsert ini untuk buktikan uniknya industri kita dengan kehadiran penyanyi yang dianggap mempunyai ‘power vocal’.

“Dalam industri, kita ada Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Ziana Zain. Saya berharap, suatu hari nanti nama saya turut berada dalam senarai itu,” katanya.

MISHA ketika sesi bersama peminat.
MISHA ketika sesi bersama peminat.

Seorang yang bersifat melankolik, kata Misha, sepanjang tempoh latihan pun dia menangis beberapa kali. Air mata yang mengalir bukan hanya terhasil kerana penghayatan tetapi juga rasa tidak percaya perkara yang diimpikan akhirnya menjadi kenyataan.

Dengan bantuan pemuzik iaitu Ude Wahid, Jenk Ali, Penn, Iju Omar serta penyanyi latar Mattao dan Ajude, semuanya dapat direalisasikan di bawah pimpinan Datuk Ramli MS.

“Saya selalu doa, mohon Allah berikan peluang untuk berkongsi perjalanan karier dengan peminat menerusi sebuah konsert. Siapa tahu ini adalah yang pertama dan terakhir.

“Kehadiran pada malam konsert ini membuatkan saya rasa dihargai. Konsert ini azimat untuk saya terus bekerja keras mencari karya terbaik. Malahan, saya kini cuba mencipta melodi sendiri.

“Saya hargai mereka yang beli tiket untuk menonton konsert ini. Saya hargai kasih sayang, senyuman dan sapaan mereka. Dengan cara itu, saya boleh hidup ‘membumi’. Kita pun bukannya hidup lama. Saya hargai apa yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:30 AM