PERSEMBAHAN mantap Siti dengan barisan penari di pentas. FOTO ASYRAF HAMZAH
PERSEMBAHAN mantap Siti dengan barisan penari di pentas. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ramlah Zainal


Selepas konsert pertamanya, Siti Nurhaliza On Tour 2019, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, kembali menghiburkan peminat melalui Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang memukau lebih 10,000 peminatnya dari dalam dan luar negara di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbekalkan pengalaman hampir 28 tahun dalam industri muzik, Siti berjaya menampilkan persembahan mantap dengan kehebatan vokalnya termasuk lagu bernada tinggi sepanjang konsert berdurasi tiga jam dengan iringan pemuzik diketuai Aubrey Suwito itu.

Malam itu, Siti menampilkan persembahan yang dibahagikan kepada lima segmen menarik dengan menyampaikan 36 lagu termasuk secara medley.

Paling mencuri perhatian pastinya segmen muzik karaoke di mana penonton di stadium yang turut menyanyi secara beramai-ramai lagu popular Siti berjudul Kau Kekasihku.

Menurut Siti, dia terharu dengan sambutan hangat peminat yang masih menyokong kerjaya seninya hingga kini.

"Masa mula-mula nak anjurkan konsert, saya gementar dan takut sebab fikir masih ada ke orang nak tengok konsert saya kerana tahun imi ramai artis yang buat konsert.

"Namun, anda semua membuat saya terkejut kerana dalam masa dua jam saja tiket konsert habis dijual. Saya anggap ini perkara yang luar biasa dan paling penting, saya melihat anda bukan saja berlumba-lumba untuk berhibur, tetapi menyumbang membuat kebajikan," katanya sambil disambut sorakan penonton.

Konsert turut dimeriahkan dengan penampilan penyanyi popular Indonesia, Judika sebagai penyanyi undangan.

Siti juga membuat persembahan secara duet dengan Judika menerusi tiga lagu iaitu Dirgahayu, Seluruh Cinta dan Kisah Ku Inginkan.

Judika yang turut mempunyai ramai peminat di Malaysia turut membuat persembahan secara solo dengan menyampaikan lagu Mama Papa Larang.

Selain itu, Siti turut mengundang Syamel secara spontan untuk berduet menerusi lagu Kalau Berkasih yang juga dendangan asal bersama Datuk Awie.

Memulakan persembahan dengan lagu Lebih Indah, Siti menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popularnya seperti Purnama Merindu, 7 Nasihat, Kesilapanku Keegoanmu, Sehebat Matahari, Menjaga Cintamu, Romansa Kita, Oda Di Bumi Anbia, Kurniaan Dalam Kesamaran, Bukan Cinta Biasa dan Aku Bidadari Syurgamu.

Lagu lain yang turut disampaikan ialah Salju Kasihnya, Usah Diragui, Debaran Cintamu, Sempadan serta koleksi lagu tradisional seperti Mahligai Permata, Joget Senyum Memikat, Cindai dan banyak lagi.

Hanif Yusabra ketika sidang media pada Ops Prebet Sapu di sekitar Nilai. FOTO AZRUL EDHAM
Hanif Yusabra ketika sidang media pada Ops Prebet Sapu di sekitar Nilai. FOTO AZRUL EDHAM

Konsert amal bantu rakyat Palestin

Berkonsepkan beramal sambil berhibur, sebahagian kutipan jualan tiket konsert anjuran Yayasan Nurjiwa iaitu pertubuhan amal diasaskan Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini juga akan disalurkan ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin.

Apa yang menarik, ribuan surat harapan sebagai simbolik yang juga kata-kata semangat buat penduduk di Gaza yang ditulis dan ditandatangani Siti juga dilayangkan ke udara ketika konsert pada malam itu.

Surat harapan itu tertulis: "Daripada kami kepada kalian di sana. Doa kami sentiasa mengiringi. Teruslah kuat kerana sinar pasti menanti. Dan Allah SWT akan melindungi. Salam Dari Malaysia – Siti Nurhaliza".

Selain surat harapan itu, Siti turut menyampaikan dua lagu sebagai solidariti untuk Palestin menerusi lagu Basyirah dan Kurniaan.

Kata Siti, dia bersyukur kerana Dr Mohanad iaitu pengetua yang menguruskan sekolah Afwa Al Afiyah di Gaza juga dilindungi Allah SWT.

"Beliau menguruskan Yayasan Nurjiwa di sana dan membantu mengagihkan sumbangan yang anda semua berikan kepada penduduk di Gaza.

"Saya juga inginkan doa anda semua agar Dr Mohanad dan pasukan Yayasan Nurjiwa di sana terus selamat dan dilindungi Allah SWT," katanya.

Siti juga meluahkan perasaan terharunya apabila ada peminat setianya dari Portugal sanggup datang ke Malaysia untuk menyaksikan konsert berkenaan.

Antara artis yang hadir memberi sokongan pada konsert ialah Jaclyn Victor, Aisha Retno, Hael Husaini, Syamel, Ernie Zakri dan Hafiz Hamidun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 4:33 PM