ALIAS menerangkan ciri-ciri baju Kebaya Setengah Tiang yang merupakan Busana Tradisional Negeri Sembilan ketika ditemui dikediamannya di Taman Pinggiran Golf. FOTO Azrul Edham
ALIAS menerangkan ciri-ciri baju Kebaya Setengah Tiang yang merupakan Busana Tradisional Negeri Sembilan ketika ditemui dikediamannya di Taman Pinggiran Golf. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Sekumpulan penggiat pakaian tradisional berusaha memelihara busana warisan Negeri Sembilan dikenali sebagai Kebaya Setengah Tiang dianggarkan berusia 100 tahun.

Berdasarkan bukti bergambar, ia dikesan sudah dipakai masyarakat dan kerabat diraja Negeri Sembilan sejak 1930-an, namun ia dipercayai digayakan lebih lama dari tempoh itu.

Meskipun Kerajaan Negeri Sembilan sudah mendaftarkan kebaya itu sebagai harta intelek, namun busana itu semakin dilupakan termasuk kurang dikenali generasi muda.

Pengerusi Persatuan Penggiat Busana Tradisional Negeri Sembilan, Alias Zakaria berkata, dia menubuhkan persatuan berkenaan yang didaftarkan pada Mac lalu selain menerbitkan buku dan risalah bagi memperkenalkan kembali busana itu.
"Mengikut bukti yang ada, ia bukan sahaja digayakan wanita kerabat diraja, namun turut dipakai rakyat biasa di Negeri Sembilan sama ada sebagai pakaian harian atau majlis keraian seperti kenduri atau berendoi.

"Kami memanggilnya Kebaya Setengah Tiang kerana labuh bajunya atas pada lutut dan bawah dari punggung," katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut Alias berkata, potongan bahagian bawah bajunya pula lurus selain pola potongan lengannya kembang di hujung atau tidak runcing manakala bahagian depan baju berlidah seperti kebaya panjang.

Tambahnya, baju ini juga mempunyai belah potong sembilan dan kebiasaannya menggunakan kain broked, songket tenun dan kain kasa bergantung kepada majlis dan penggunaannya.

"Ia akan dipadankan dengan kain batik sarung dengan ikatan tindih kasih. Lipatan kain mengarah dari kanan ke kiri sesuai dengan ajaran Islam.

"Wanita yang menggayakan baju ini selalunya akan menggunakan kerongsang, dokoh dan rantai labuh untuk menaikkan seri pakaian.

"Ia juga dipadankan dengan pelitup kepala yang di panggil telepok dan bukannya tengkolok tanduk yang dipakai wanita Minang di Sumatera Barat," katanya.

Menceritakan usaha yang dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan pemakaian kebaya itu, Alias berkata, pihaknya mengadakan bengkel jahitan khusus membuat busana itu dengan kerjasama GiatMARA dan Jabatan Kemajuan Masyarakatb(KEMAS).

"Ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kalau boleh kita mahu kebaya setengah tiang ini dipopularkan kembali di negeri ini dan menjadi pakaian kebiasaan

"Ia ditambah pula kerajaan Negeri Sembilan sudah mendaftarkannya sebagai harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada November tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:35 PM