Siti ketika konsert di Singapura
Siti ketika konsert di Singapura
Najiy Jefri


Singapura: Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan Singapura adalah negara yang cukup istimewa buat dirinya kerana terpahat beberapa sejarah penting sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam industri seni.

Berkongsi perkara itu pada hari pertama konsert solonya di The Star Theatre, di sini, Siti berkata, lagu pembukaan berjudul Mawarku melakar satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan

"Singapura tidak pernah mengecewakan saya. Lagu pembukaan Mawarku nyanyian duet saya bersama kumpulan Zul 2by2 mencatat satu sejarah istimewa.

"Menerusi lagu ini saya memenangi anugerah luar negara yang pertama menerusi Anugerah Muzik Singapura pada 1996.

"Pada waktu itu saya baru berusia 17 tahun dan memenangi dua anugerah bagi kategori Artis Baru Wanita Popular dan Lagu Paling Popular," katanya.

Teruja apabila ada peminat sanggup membeli tiket konsertnya untuk dua hari berturut-turut, Siti amat berterima kasih dengan sokongan tidak berbelah bahagi peminat.

"Walaupun duit anda keluar untuk menyaksikan konsert ini, tapi saya akan pastikan konsert ini anda dapat ingatan yang istimewa," katanya.

Menghiburkan lebih 5,000 peminat pada hari pertama, Siti sempat mengusik peminat yang merindui suara sewaktu zaman mudanya pada konsert berkenaan.

"Saya melalui beberapa fasa dalam kehidupan bermula dari zaman remaja, sebelum berkahwin dan kini memiliki dua cahaya mata, jadi secara tidak langsung saya melalui perubahan suara.

"Saya menyukai suara saya sekarang, tapi tidak dinafikan ada peminat masih mahukan saya menyanyi seperti zaman muda dulu.

"Jadi saya akan cuba bawakan seperti suara muda saya dulu tapi kalau terkeluar yang tebal saya minta maaf," katanya.

Selain Mawarku, Siti membawakan beberapa lagu hits seperti Azimat Cinta, Gelora Asmara, Anta Permana, Kau Kekasihku, Bisikan Asmara, Muara Hati dan Pastikan.

Pada konsert itu, Siti turut berduet dengan penyanyi Khai Bahar dan Sufie Rashid.

Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu adalah konsert keduanya di The Star Theatre.

Kali pertama Siti mengadakan konsert di lokasi sama pada 2014 dan konsert solo pertama Siti di Singapura adalah pada tahun 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 2:21 PM