KONSERT Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah
KONSERT Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur : Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya memukau lebih 10,000 penonton menerusi konsert solonya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza itu juga memaparkan perjalanan karier seninya sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Siti atau nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin, 45, juga menghiburkan peminat setianya menerusi rangkaian 36 lagu hits termasuk medley dalam konsert durasi tiga jam yang bermula pada jam 8.30 malam itu.

Antara lagu hits yang disampaikan menerusi empat segmen itu ialah Bukan Cinta Biasa, Percayalah, Biarlah Rahsia, Purnama Merindu, Cindai, Menjaga Cintamu, Usah Diragui dan banyak lagi.

Tidak dapat dinafikan, Siti juga berjaya menghiburkan peminat setia dengan vokalnya yang mantap serta persembahan yang bertenaga dengan iringan barisan pemuzik yang diketuai Aubrey Suwito pada malam itu.

Tidak ketinggalan, penampilan penyanyi popular dari Indonesia, Judika selaku artis undangan juga memeriahkan lagi konsert itu.

Selain membuat persembahan secara duet dengan Siti menerusi lagu Dirgahayu dan Seluruh Cinta, Judika turut menghiburkan penonton secara solo di pentas.

Lebih bermakna, konsert anjuran Yayasan Nurjiwa iaitu pertubuhan amal diasaskannya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa juga untuk membantu rakyat Palestin.

Sebahagian kutipan jualan tiket konsert itu juga akan disalurkan ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin yang mempunyai seramai 100 pelajar dan 10 guru serta ditubuhkan yayasan, empat tahun lalu.

Antara artis yang hadir memberi sokongan pada konsert ialah penyanyi Jaclyn Victor, Aisha Retno, Hael Husaini, Syamel, Ernie Zakri dan komposer Hafiz Hamidun.

Kali terakhir Siti mengadakan konsert di Axiata Arena menerusi Konsert Siti Nurhaliza On Tour pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 12:51 PM