Muhyiddin Yassin ketika kehadiran pada Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2024 di DCC IDEAL Convention Centre Selayang. FOTO Aswadi Alias
Muhyiddin Yassin ketika kehadiran pada Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2024 di DCC IDEAL Convention Centre Selayang. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Selayang: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa parti lawan takut untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang disandang oleh bekas ahlinya kerana mereka lemah.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan contoh dalam sejarah politiknya tidak pernah melihat parti kerajaan boleh kalah dengan teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Sungai Bakap.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, dengan segala kuasa yang ada pada parti lawannya, adalah aneh mereka kecundang seperti itu.

"Dalam PRK Sungai Bakap yang baru berlangsung, Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusinya, tetapi meningkatkan majoriti hampir tiga kali ganda.

"Begitu juga dalam PRK Kuala Kubu Baharu sebelumnya. Walaupun PN tidak berjaya merampas kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH), tetapi sokongan pengundi kepada PN, terutamanya pengundi Melayu semakin meningkat.

"Ini sesuatu yang aneh. Kenapa semakin ramai rakyat menyokong parti pembangkang? Sudahlah wakil rakyat kita tidak diberikan peruntukan, akaun parti dibekukan, pemimpin parti didakwa di mahkamah, tetapi rakyat bangkit menyokong kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Bersatu di IDCC Selayang hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin melahirkan keyakinan, PN akan berjaya mempertahankan kerusi Dun Nenggiri.

Bagaimanapun, Pengerusi PN itu menggesa ahli parti itu untuk tidak mengambil mudah mengenainya.

"Persiapkan jentera pilihan raya dan susun strategi untuk menang. Saya minta semua bahagian Bersatu di seluruh negara untuk turun membantu kempen di Nenggiri," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

Sebelum ini, Speaker Dun Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi Dun Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Dun Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu mengenai keahlian Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK Dun berkenaan daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:49 PM