MUHYIDDIN berucap pada Konvensyen Bersatu 2024 di IDCC Selayang. FOTO Aswadi Alias
MUHYIDDIN berucap pada Konvensyen Bersatu 2024 di IDCC Selayang. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bakal berlangsung dalam masa terdekat berkemungkinan menyaksikan tiadanya pertembungan membabitkan majlis tertinggi parti itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan dengan hampir semua pihak bagi mengelakkan pertembungan dan perpecahan dalam parti itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, perkara itu akan diumumkan olehnya sebelum berlakunya pencalonan dalam parti.

Menurutnya, langkah itu bukan bermakna Bersatu mahu menolak demokrasi pemilihan parti, sebaliknya demi survival parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

"Saya bertemu hampir semua, sudah berunding dengan mereka dan sudah mendapat ilham supaya apapun jawatan tertinggi dalam parti, mungkin kita dapat elakkan daripada pertembungan.

"Tetapi saya tak nak umumkan sekarang. Itu keputusan yang saya fikir akan menggambarkan bahawa dalam kerabat kepimpinan tertinggi parti ini ada semangat muhibbah dan bertolak ansur sesama sendiri," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Bersatu di IDCC Selayang, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau turut berharap perkara sama dapat dilakukan pada pemilihan peringkat bahagian seluruh negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana, pihaknya mahu Bersatu menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti yang akan menentukan kalah menang parti itu dalam PRU-16.

"Saya mahu parti kita menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti. Kenapa? Kerana penggal pemilihan inilah yang akan menentukan kalah menang kita dalam PRU-16.

"Ini bukan perkara main-main. Ini survival parti kita. Ini survival bangsa kita, tanah air kita dan agama kita," katanya.

Beliau turut berharap, pengumumannya nanti mengenai keputusan pemilihan parti itu mendapat sokongan ahli 100 peratus.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjangkakan PRU-16 nanti bakal menjadi pilihan raya yang sengit.

Dakwanya, parti lawan yang menguasai kerajaan akan menggunakan apa saja untuk menekan mereka dengan rakus dan mengubah tiang gol dengan penuh tipu daya.

"Ini termasuklah menggunakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan dilaksanakan sebelum PRU-16 untuk memberikan kelebihan kepada parti mereka.

"Dalam keadaan ini, kita hanya akan menang pilihan raya dan membentuk kerajaan sekiranya kita berjaya meraih sokongan padu rakyat baik dalam kalangan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, orang asal dan kaum-kaum lain di negara kita.

"Dengan sokongan padu rakyat sajalah, kita akan berjaya mengatasi segala tekanan dan tipu daya parti lawan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:51 PM