KERETA EV.
KERETA EV.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Garis panduan berhubung pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) sedang diperhalusi berikutan kesukaran memadamkan api berpunca daripada bateri litium digunakan.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, setakat ini tiada lagi agen yang mampu memadamkan kebakaran akibat bateri litium yang lazimnya digunakan pada kenderaan elektrik (EV).

"Sehingga kini di seluruh dunia belum ada satu lagi pun agen pemadaman yang boleh memadamkan kebakaran bateri litium yang digunakan pada kenderaan EV (amnya).

"Kita hanya boleh melemaskan sahaja api (sehingga terpadam) tetapi hendak memadamkan (secara cepat) itu belum ada.

"Malah, litium itu sifatnya dia boleh ignite (menyala) semula walaupun api sudah dipadamkan," katanya pada sidang media selepas merasmikam Kursus Building Fire Safety: Regulations di sini, tadi.

Seramai 140 peserta terdiri daripada badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC), persatuan penduduk, pemilik premis dan orang awam menyertai kursus percuma itu.

Antara topik dibincangkan adalah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) Pindaan 2018 selain pemasangan keselamatan kebakaran, dan kelengkapan menetang kebakaran.

Rozihan berkata, JBPM Kuala Lumpur sedang bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengawal selian pemasangan EVCS di ibu negara bagi mengurangkan risiko kebakaran terbabit.

Katanya, ia meliputi pemasangan EVSC bukan sahaja di premis komersial, pejabat malah pemasangan di kediaman peribadi juga akan diselia pihaknya kelak.

"Fenomena kenderaan EV ini, JBPM dan DBKL perlu teliti kerana permohonan projek melalui DBKL jadi kami akan lihat dengan terperinci. Kita tahu kerajaan umum nak bina 10,000 EVCS, jadi kita akan buat penguatkuasaan.

"Pemasangan di premis perlu dapatkan kebenaran bomba, hantar dokumen kepada JBPM dan kita akan cadangkan jenis EVCS sama ada arus elektrik AC atau DC. Semuanya ada garis panduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:27 PM