IDA Riswana menunjukkan produk Kurma Yang Dirindui di Wisma Andalusia. - Foto Fariz Iswadi Ismail
IDA Riswana menunjukkan produk Kurma Yang Dirindui di Wisma Andalusia. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Hajar Umira Md Zaki


ANDALUSIA Travel and Tours Sdn Bhd mengambil inisiatif membuat penjualan kurma Ajwa yang diimport dari Madinah sebagai pengubat rindu kepada individu yang merindui Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya menyasarkan penjualan kurma Ajwa yang diberi nama Kurma Yang Dirindui (KYD) sebanyak hampir 30 tan pada Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Setakat ni kurma yang kami import lebih dari 50 tan dan kami buat penjualan melalui sistem stokis, dropship dan ejen, selain di 43 cawangan Andalusia serta di laman web kami.

"Ketika ini kami sibuk menguruskan stok yang ada memandangkan sambutan dalam kalangan pelanggan adalah luar biasa.

"Kebanyakan pelanggan mendapatkan kurma ini untuk tujuan infak pada Ramadan," katanya ketika ditemui Bisnes Metro di sini, semalam.

Ida Riswana berkata, tidak sampai dua bulan, Andalusia menerima 700 ejen berdaftar untuk menjual kurma berkenaan.

Dalam pada itu, Andalusia menawarkan pakej harga kurma KYD yang kompetitif dan boleh didapati dengan harga RM60 sekilo bagi saiz sederhana dan RM90 sekilo bagi saiz kurma yang besar.

"Banyak permintaan untuk mendapatkan pek lebih kecil kerana lebih mudah dibawa dan kami menawarkan pek kecil pada harga hanya RM17.

"Selain daripada kurma Ajwa, kami juga menjual Mejoul dari Palestin, Safawi dan Anbar," katanya.

Namun, katanya, buat masa ini, pihaknya memberikan tumpuan terhadap penjualan KYD kerana ia mencatatkan permintaan tinggi dan lebih mudah dari segi penjagaan.

Dalam pada itu, menurutnya berikutan pandemik Covid-19, Andalusia yang sebelum ini dikenali dalam perkhidmatan pakej haji dan umrah terpaksa menamatkan perkhidmatan hampir separuh pekerja dan hanya mengekalkan 100 daripada 300 pekerja.

Namun, selepas memulakan perniagaan kurma ini, pihaknya yakin dapat meneruskan operasi dengan lebih baik tanpa perlu melaksanakan skim pemberhentian pekerja lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:10 AM