GULER bakal berdepan pemain bintang Portugal. FOTO AFP
GULER bakal berdepan pemain bintang Portugal. FOTO AFP
AFP

Düsseldorf: Arda Guler akan menguji keberaniannya menentang pasukan Portugal yang penuh dengan nama besar esok selepas pemain remaja Turkiye itu menunjukkan mengapa dia menjadi bintang dalam pembikinan selepas meledak salah satu gol terbaik Euro 2024.

Pemain tengah Real Madrid itu meledak gol kedua Turkiye dengan sangat menakjubkan ketika mencatat kemenangan mendebarkan 3-1 ke atas Georgia, perlawanan paling menghiburkan setakat ini untuk aksi peringkat kumpulan.

Rembatan deras pemain berusia 19 tahun itu meletakkan Turkiye di hadapan menentang Georgia yang bersemangat di hadapan sokongan besar dan fanatik di Dortmund.

Guler, yang mengalami masa sukar dengan kecederaan pada musim pertamanya di Madrid, mengumumkan dirinya sebagai salah seorang pemain muda yang perlu disaksikan ketika jurulatih Turkiye, Vincenzo Montella meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dengan sempurna.

"Ia adalah hari lahir jurulatih kami hari ini dan kami mahu memberikan hadiah terbaik kepadanya," kata Guler selepas perlawanan.

"(Jurulatih Real Madrid Carlo) Ancelotti menulis mesej kepada saya hari ini tetapi saya tidak dapat membaca semua mesej yang saya dapat daripada rakan sepasukan saya!"

Madrid menandatangani Guler musim panas lalu dari Fenerbahce, tempat dia bermain untuk pasukan utama sejak berusia 16 tahun, dalam perjanjian enam tahun yang menonjolkan kepercayaan juara Sepanyol itu terhadap potensinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:41 AM