Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga kiri) pada perasmian Klinik Umrah Siri Ke-6 dan Brosur 1445H Andalusia. - FOTO NSTP
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,Khairul Firdaus Akbar Khan (tiga kiri) pada perasmian Klinik Umrah Siri Ke-6 dan Brosur 1445H Andalusia. - FOTO NSTP
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Seramai 211 wakil agensi pelancongan seluruh negara menyertai Klinik Umrah Siri Ke-6 yang dianjurkan oleh pengendali pakej ibadat haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd selepas kali terakhir diadakan pada 2019 berikutan pandemik Covid-19.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, Klinik Umrah itu diadakan bertujuan untuk berkongsi pandangan dan ilmu serta penambahbaikan ilmu kepada penggiat pelancongan umrah.

Menurutnya, antara agenda utama diketengahkan pada Klinik Umrah kali ini adalah perkongsian daripada syarikat penerbangan yang menawarkan tiket umrah.

"Kadang-kadang, agensi pelancongan umrah susah untuk mengakses kepada syarikat penerbangan. Jadi, hari ini kita bawakan semua syarikat penerbangan yang menawarkan tiket umrah.

"Mereka (syarikat penerbangan) akan memberi penerangan mengenai syarikat serta bagaimana caranya untuk dapatkan tiket dari mereka.

"Kita juga ada perkongsian dengan Pakar Digital Usahawan Najib Asaddok mengenai pemasaran digital kerana ramai agensi pelancongan umrah masih belum lagi menerapkan elemen digital dalam pemasaran mereka," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Klinik Umrah dan Pelancaran Brosur 1445H yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Turut hadir Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin dan Pengerusi Eksekutif Andalusia Md Daud Che Ngah.

Ida Riswana berkata, di akhir Klinik Umrah Siri Ke-6 itu, pihaknya mengadakan sesi perkongsian perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan agensi pelancongan umrah.

"Menerusi sesi ini, agensi pelancongan umrah yang hadir boleh merungkai bagaimana caranya kedua-dua pihak boleh bekerjasama rapat," katanya.

Pada majlis sama, Andalusia turut melancarkan Brosur Umrah 1445H yang berwajah baru dan lengkap dengan semua pakej serta maklumat yang diperlukan oleh bakal jemaah untuk membuat pilihan.

Ida Riswana berkata, brosur 1445H itu antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh pihaknya dengan memasukkan semua elemen diperlukan dalam pakej umrah.

"Semua pakej umrah yang kita tawarkan terbahagi kepada empat kategori iaitu Pakej Ekonomi dengan jarak hotel kira-kira 780 meter dan Pakej Sederhana yang paling diminati ramai.

"Kita juga ada Pakej Jarak Dekat yang menyediakan penginapan di Hotel Safwah dan Pakej Premium iaitu pakej mewah bersama tiket kereta api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:44 PM