Petaling Jaya: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) terus menawarkan pakej umrah Rahmahnya bagi September dan Oktober 2023 melalui Ekspo Pelancongan Islamic Asia (Aitex) 2023 pada harga serendah RM5,590.
Pengarah Merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pakej umrah Rahmah itu bertujuan membantu golongan B40 dan golongan kurang mampu untuk menunaikan umrah sama seperti mereka yang berkemampuan pergi setiap tahun.
Katanya, pakej itu juga diperkenalkan sebagai sebahagian tanggungjawab korporat sosial (CSR) Andalusia berikutan harga tiket dan kos untuk mengerjakan umrah meningkat mendadak selepas pandemik.
"Pakej umrah Rahmah ini bermula Ogos lalu dan sambutan diterima begitu menggalakkan daripada rakyat Malaysia, malah kami akan meneruskan pakej ini sehingga Syawal akan datang terutama kepada mereka yang pertama kali hendak menunaikan umrah.
"Pakej ini juga ditawarkan pada harga RM5,590 (menggunakan penerbangan transit Air Arabia atau Oman Air) dan RM5,990 (penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines) dengan antara RM1,300 ke RM1,400 lebih murah berbanding harga pakej asal.
"Perbezaan pakej umrah Rahmah ini adalah dari segi jarak hotel. Jika di Madinah dekat, tetapi di Makkah jarak perbezaan tambahan dengan pakej biasa lebih kurang 350 meter dari hotel," katanya kepada media di majlis pelancaran pakej umrah Rahmah Aitex 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah.
Selain itu, Ida Riswana berkata, walaupun pakej umrah terbabit ditawarkan pada harga serendah RM5,590, namun dari segi layanan, makanan, bimbingan, penginapan semuanya tiada perbezaan dengan pakej biasa.
Menurutnya, Andalusia sudah memperuntukkan lebih kurang RM400,000 bagi menampung kos CSR pakej berkenaan dan untuk pakej September serta Oktober 2023, lebih 100 tempat duduk ditawarkan.
Beliau berkata, selain pelancaran pakej Rahmah, Andalusia turut mempromosikan pakej umrah lain dan pelancongan Muslim dengan diskaun dari RM200 ke RM500 bagi pendaftaran sempena program Aitex 2023 yang berlangsung selama tiga hari (13 hingga 15 September) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.