IDA Riswana (tiga kanan) bersama Muhammad Najmi menandatangani perjanjian kerjasama antara Andalusia bersama Malaysia Arlines pada majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Andalusia bersama Malaysia Arlines di Intercontinental Hotel. FOTO Hazreen Mohamad
IDA Riswana (tiga kanan) bersama Muhammad Najmi menandatangani perjanjian kerjasama antara Andalusia bersama Malaysia Arlines pada majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Andalusia bersama Malaysia Arlines di Intercontinental Hotel. FOTO Hazreen Mohamad
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) meneruskan jalinan kerjasama dengan Malaysia Airlines (MAB) bagi membantu umat Islam yang mengerjakan umrah pada musim umrah 2023/2024 (1445 Hijrah) bermula Julai ini sehingga Mei 2024, dalam mendapatkan harga pakej yang berpatutan.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pemeteraian memorandum kerjasama (MoU) kali ke-10 itu membabitkan kontrak bernilai RM117,325 juta bagi pembelian minimum 32,050 kerusi penerbangan umrah.

"Sepanjang lapan tahun bersama AMAL by Malaysia Airlines (AMAL), Andalusia berjaya mencapai hasrat menyantuni puluhan ribu tetamu saban tahun dengan harga pakej umrah yang mampu milik, namun tetap mengekalkan perkhidmatan penerbangan bertaraf antarabangsa.

"Melalui peluang kerjasama bersama AMAL sejak tahun 2015 ini juga, Andalusia dapat merealisasikan 'amal' kami iaitu membuka peluang kepada ribuan umat Islam di Malaysia yang kurang bernasib baik untuk menjejakkan kaki ke bumi Makkah melalui program CSR (tanggungjawab sosial korporat), iaitu program tajaan penuh jemaah asnaf.

"Oleh itu, kami berharap jalinan kerjasama ini juga dapat menyedarkan masyarakat khususnya bakal jemaah umrah bahawa pentingnya mencari syarikat pengendali umrah yang mempunyai tiket penerbangan dan penginapan di Makkah dan Madinah," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Malaysia Airlines bagi musim umrah 2023-2024 di, sini, semalam

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (Motac), Khairul Firdaus Akbar Khan: Timbalan Ketua Setiausaha Motac, Datuk Mohd Zamri Mat Zain serta Ketua Pegawai Operasi AMAL by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor.

Dalam pada itu, Ida Riswana berharap jalinan kerjasama antara Andalusia dan AMAL mampu memberikan kesedaran kepada orang ramai terutama bakal jemaah umrah mengenai pentingnya pemilihan syarikat yang diyakini.

Katanya, musim umrah 1444 Hijrah terutamanya pada bulan Disember 2022 dan awal 2023 menyaksikan pelbagai peristiwa hitam yang banyak mengakibatkan kerugian kepada umat Islam dari segi kewangan dan tekanan emosi serta mental.

Oleh yang demikian, dari sudut prinsip, Andalusia tidak boleh menjual apa-apa 'barangan' selagi barang itu tiada.

"Andalusia akan terus melebarkan pemasaran kami ke seluruh negara bagi menyedarkan orang ramai bahawa pentingnya untuk berurusan dengan syarikat yang boleh menjamin pakej yang ditawarkan mempunyai tempat duduk yang disahkan.

"Niat kami hanya satu, iaitu untuk sedaya upaya mengekalkan harga pakej umrah serendah yang mungkin supaya boleh membuka peluang kepada lebih ramai lagi umat Islam di negara ini dapat berkunjung ke Baitullah.

"Kami juga berharap MAB akan terus berusaha mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan dan kemudahan di dalam kapal dan kecekapan operasi supaya penerbangan MH ini dapat mencapai piawaian seperti yang diharapkan oleh jemaah," katanya.

Andalusia menggunakan perkhidmatan AMAL kerana rata-rata jemaah berpuas hati dan mengulangi pakej umrah kerana jemaah mengibaratkan penerbangan MH diibaratkan seperti di dalam rumah sendiri terutamanya dari sudut sajian makanan dan kemudahan berkomunikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 4:40 PM