AKSI antara Austria dan Poland sebentar tadi. FOTO AFP
AKSI antara Austria dan Poland sebentar tadi. FOTO AFP
AFP

Berlin: Austria meningkatkan harapan mereka untuk mara ke pusingan kalah mati Euro 2024 apabila Marko Arnautovic menjaringkan gol dalam kemenangan mengagumkan 3-1 ke atas Poland, tatkala Robert Lewandowski hanya berjaya menjadi pemain gantian yang kurang berkesan.

Austria pimpinan Ralf Rangnick berkemungkinan akan layak ke pusingan 16 terakhir jika mereka dapat mengelak kekalahan dalam perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Belanda Rabu depan.

Poland tidak lagi boleh menamatkan saingan di dua teratas dan hampir pasti perlu mengalahkan Perancis untuk mempunyai sebarang peluang mara sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik tempat ketiga.

Gernot Trauner menanduk masuk untuk Austria mendahului awal sebelum Krzysztof Piatek, yang terlepas peluang beraksi ketika kekalahan pembukaan kepada Belanda, menyamakan kedudukan untuk Poland pada minit ke-30.

Lewandowski dimasukkan untuk penampilan pertamanya dalam kejohanan itu ketika perlawanan berbaki setengah jam, tetapi tiada impak luar biasa tatkala Poland menghampiri ambang penyingkiran.

Christoph Baumgartner meletakkan Austria kembali di hadapan selepas gerakan pasukan yang menarik dan aksi itu dimuktamadkan oleh penalti Arnautovic pada minit ke-78.

Austria, yang mara ke fasa kalah mati pada kejohanan utama buat pertama kali sejak 1954 di Euro 2020, pasti akan melaluinya jika mereka menewaskan Belanda.

Lewandowski tidak cukup cergas untuk bermain selepas mengalami kecederaan paha minggu lalu, walaupun jurulatih Poland, Michal Probierz berkata, beliau berharap penyerang Barcelona itu dapat bermain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:36 AM