JEMAAH umrah Pakej Istimewa@Khas Umrah Andalusia berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke Jeddah. FOTO Samadi Ahmad.
JEMAAH umrah Pakej Istimewa@Khas Umrah Andalusia berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke Jeddah. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Sepang: Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menawarkan Pakej Istimewa@Khas Umrah serendah RM4,990 kepada 364 jemaah ke Makkah, bulan ini.

Pengerusi merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, berkata tawaran itu diperkenalkan bagi membantu jemaah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan tidak berkemampuan mengerjakan umrah dengan harga semasa.

Katanya, pakej itu juga bertujuan membantu meringankan beban golongan B40 menunaikan umrah pada harga mampu milik.

"Pakej 12 hari 10 malam itu merangkumi kos penginapan, penerbangan dan makan minum jemaah sepanjang melaksanakan ibadah berkenaan.

"Kumpulan pertama 183 peserta selamat berlepas ke Makkah pada Jumaat lalu manakala kumpulan kedua merangkumi 181 jemaah berlepas jam 2.30 pagi ini ke Jeddah," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam ini.

Ida Riswana berkata, pihak Andalusia akan membincangkan sama ada pakej istimewa itu akan diteruskan pada masa depan.

Setakat ini, katanya, kira-kira 38,000 jemaah sudah mendaftar bagi pakej musim 1445H manakala bagi musim 1444H, pihaknya mengendalikan 48,000 jemaah.

"Kos ditawarkan bermula daripada RM6,990 bagi pakej 12 hari 10 malam merangkumi penerbangan, hotel dan makan minum," katanya.

Jemaah dari Papar, Sabah yang juga pesara polis, Watta Hamidshah, 78, mengetahui mengenai pakej berkenaan menerusi media sosial dan membuat permohonan di cawangan Andalusia di Kota Kinabalu.

Beliau bersyukur permohonannya diluluskan dan dapat mengerjakan umrah pada harga lebih rendah.

"Alhamdulillah, ini rezeki kami dan kali kedua dapat mengerjakan umrah selepas 2004 dan mengerjakan haji pada 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 11:53 PM