PENGERUSI Eksekutif, Datuk Md Daud Che Ngah (kiri) dan Pengarah Merangkap Penasihat Undang- Undang, Ida Riswana Idris dari Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd mengenai isu pakej umrah terutamanya pakej bulan Ramadan di Wisma Andalusia Travel & Tours, Desa Pandan. FOTO Amirudin Sahib
PENGERUSI Eksekutif, Datuk Md Daud Che Ngah (kiri) dan Pengarah Merangkap Penasihat Undang- Undang, Ida Riswana Idris dari Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd mengenai isu pakej umrah terutamanya pakej bulan Ramadan di Wisma Andalusia Travel & Tours, Desa Pandan. FOTO Amirudin Sahib
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Pengendali pakej ibadat haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd berpandangan, laporan agensi pelancongan yang membatalkan atau menangguhkan pakej umrah terutamanya pada Ramadan boleh mencetuskan keresahan serta keraguan kepada bakal jemaah bagi meneruskan ibadat mereka.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata, selain itu, ia juga boleh memberi kesan negatif kepada pihaknya dan syarikat pengendali yang lain.

"Sekiranya kes penangguhan atau pembatalan oleh agensi pelancongan boleh dibuat sewenang-wenangnya dan tidak ditangani segera pihak berkuasa, dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa kesan daripada sudut ekonomi serta psikologi umat Islam di Malaysia iaitu perasaan ingin beribadat ke Tanah Suci Makkah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ida Riswana berkata, dakwaan sesetengah agensi pelancongan bahawa kenaikan harga tiket penerbangan sebagai punca pembatalan pakej juga adalah fakta yang tidak benar.

"Kerana hakikatnya selepas pandemik, kenaikan harga tiket penerbangan berlaku pada semua syarikat penerbangan luar dan dalam negara ke semua destinasi di dunia, termasuk penerbangan domestik.

"Ini disebabkan oleh kenaikan kos bahan api, kadar tukaran mata wang dan lain-lain kos yang terpaksa ditanggung oleh syarikat penerbangan," katanya.

Beliau turut mendedahkan, pada Ramadan, masih banyak kerusi kosong untuk penerbangan umrah.

"Sehinggakan ada beberapa penerbangan yang terpaksa disatukan bagi menjimatkan kos serta mengelakkan syarikat penerbangan rugi kerana kapasiti yang rendah.

"Andalusia turut melakukan penambahan tiket di 10 malam akhir Ramadan malah bilik di Tanah Suci Makkah serta Madinah juga masih banyak yang kosong," katanya.

Dalam pada itu, Ida Riswana turut memaklumkan, bagi jemaah Andalusia yang mencecah 48,000 orang, tiada penangguhan, pembatalan hotel atau peningkatan harga pakej umrah.

Katanya, ini disebabkan pihaknya mengamalkan empat formula iaitu pertama, membuat tempahan tiket penerbangan awal musim dan menandatangani perjanjian sebelum permulaan musim umrah mengikut perancangan semusim serta hanya menjual pakej mengikut tarikh tempahan hotel yang sudah disahkan.

"Kedua, membuat kontrak secara terus dengan pengurusan tertinggi hotel mengikut perancangan setahun. Ketiga, membuat kos yang tepat mengikut tiket dan hotel yang ada, kemudian barulah membuat penjualan.

"Keempat, pengurusan kewangan teratur dan amanah kerana wang yang diterima melalui pembayaran pakej oleh jemaah diuruskan sebagai wang amanah jemaah bagi pembelian tiket, hotel, visa dan semua komponen yang dijanjikan oleh Andalusia semasa penjualan pakej," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 1:02 PM