POKOK kuini tumbang rosakkan dapur dan kereta milik keluarga Faridah Saad di Kampung Hampar Kiri, Pendang. FOTO APM.
POKOK kuini tumbang rosakkan dapur dan kereta milik keluarga Faridah Saad di Kampung Hampar Kiri, Pendang. FOTO APM.
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Kali kedua rumah dilanda ribut menyebabkan tujuh sekeluarga di Kampung Hampar Kiri, Mukim Air Puteh di sini, trauma.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira 5 petang tadi, ribut menyebabkan pokok kuini tumbang yang merosakkan dapur rumah Faridah Saad, 58.

Faridah berkata, ketika kejadian dia hendak mengambil wuduk di bilik air, manakala suaminya, Ady Abd Ghani, 68, sedang bersiap untuk ke masjid.

"Sebelum itu anak beritahu mak cik yang cuaca mendung, gelap dan angin kuat. Belum sempat mak cik nak keluar meninjau, tiba-tiba pokok kuini di dapur tumbang, rosakkan bumbung dan Proton Saga Kemek.

"Sampai sekarang mak cik masih terkejut dengan apa yang berlaku kerana ini kali kedua kejadian ribut berlaku di rumah mak cik," katanya ketika dihubungi.

Faridah bagaimanapun bersyukur kerana mereka sekeluarga termasuk cucu selamat.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan dua rumah di kampung itu terjejas ribut,

Katanya, anggota dikerah ke lokasi untuk melakukan kerja pembersihan dan memotong dahan pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 10:45 PM