AKSI antara Negeri Sembilan dan KL City sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Negeri Sembilan dan KL City sebentar tadi. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk melakar kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC, 0-3, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Meskipun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, namun pemain skuad Hobin Jang Hobin itu gagal memanfaatkan kelebihan berkenaan dengan baik, sebaliknya pasukan warga kota dilihat lebih mendominasi permainan seawal separuh masa pertama.

Ini kekalahan keempat dialami skuad bimbingan Azzmi Ab Aziz selepas tunduk kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dengan satu daripadanya aksi Piala FA.

Hanya satu peluang terbaik diperoleh Negeri Sembilan pada minit ke-25, namun bola sepakan Dzulfahmi Abd Hadi dari jarak kira-kira 25 meter tepat ke dakapan penjaga gol KL City Muhammad Azri Ghani.

Walaupun kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati dalam melakukan serangan, namun pemain KL City yang dibimbing Miroslav Kuljanac lebih berdisiplin dan mengawal bola dengan lebih baik.

Pasukan pelawat mendapat peluang menjaringkan gol pertama pada minit ke-27, namun tandukan Giancarlo Gallicuoco terkena palang.

Bagaimanapun. pemain kebangsaan, Brendan Gan berjaya menebus kehampaan itu apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-28, selepas menanduk kemas bola hantaran lintang Zhafri Yahya ke dalam gawang tuan rumah sekali gus menewaskan penjaga gol, Muhamad Aqil Abdul Razak, untuk meletakkan pelawat di depan sehingga berakhir separuh masa pertama.

Ketika Negeri Sembilan mula untuk memperkemaskan jentera pasukan sebaik bermula separuh masa kedua, pasukan itu kehilangan Jacque Faye selepas dia diperintah keluar padang kerana dilayangkan kad merah oleh pengadil,S Logeswaran, apabila dikesan mengasari Ryan Lambert pada minit ke-53.

Beraksi dengan 10 pemain ternyata memberi tekanan tinggi kepada Negeri Sembilan yang amat mengharapkan kemenangan.

Peluang itu digunakan sebaik mungkin oleh KL City apabila menambah gol kedua yang dijaringkan kapten pasukan itu, Paulo Josue pada minit ke-72.

Kekecewaan Negeri Sembilan terus bertambah apabila jaringan pemain gantian,S Sharvin pada minit ke-90 disahkan menerusi alat bantuan pengadil (VAR).Kedudukan 3-0 itu kekal di wisel penamat sekali gus mengecewakan 1,700 penyokong tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 12:18 AM