TUKANG urut warga asing yang ditahan dalam serbuan di Cheras, malam tadi.
TUKANG urut warga asing yang ditahan dalam serbuan di Cheras, malam tadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan menerusi serbuan di dua premis menawarkan khidmat urut di Cheras, di sini, hari ini.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi bermula 8 malam itu menahan sembilan wanita Thailand, dua wanita China, empat wanita Indonesia serta tiga lelaki Indonesia.

"Kesemua mereka berusia antara 24 hingga 45 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan diri dan salah guna pas," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Pati itu dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, JIM Kuala Lumpur turut melakukan pemeriksaan terhadap sekumpulan warga asing yang bermain sepak takraw di kawasan rekreasi di Taman Bukit Cheras.

Difahamkan kawasan itu menjadi tumpuan warga asing berkumpul terutama pada hujung minggu, sekali gus mendatangkan kegusaran penduduk setempat.

Wan Mohammed Saupee berkata, pemeriksaan itu dilakukan susulan aduan orang awam berhubung kehadiran sejumlah warga asing di kawasan berkenaan, baru-baru ini.

"Tujuh lelaki warga Myanmar berusia antara 24 hingga 32 tahun diperiksa dan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan semakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 11:07 PM