Amir Abd Hamid dan Siti Norhidayah Mohd Yunus

Kuala Lumpur: Pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AMAL by Malaysian Airlines bagi musim umrah tahun 1446H (2024/2025).

Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia Ida Riswana Idris berkata perjanjian kerjasama untuk tahun kesebelas itu memeterai kontrak untuk 77 penerbangan kapal penuh FBS (kapasiti 283 kerusi setiap kapal) dan SBS (kapasiti 90 kerusi setiap kapal).

Beliau berkata, keseluruhan kontrak ditandatangani ialah bagi pembelian minima 30,000 'seat' (kerusi tempat duduk) bernilai hampir RM100 juta.

"Melalui kontrak hari ini, penerbangan sulung AMAL bersama Andalusia bagi musim baru dijangka bermula 21 Julai 2024 (14 Muharram 1446H) sehingga Mei 2025.

"Syukur Alhamdulillah juga, bagi musim 1445H walaupun terdapat pelbagai cabaran dari luar dan dalam tetapi Andalusia tetap berjaya menerbangkan seramai 23,479 jemaah bersama penerbangan Malaysia Airlines," katanya pada majlis MoU itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi AMAL by Malaysia Airlines Muhammad Najmi Mansor dan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel Datuk Md Daud Che Ngah.

Ida Riswana berkata, dedikasi kru AMAL tanpa lelah dan penuh kesabaran membantu serta menyantuni semua jemaah umrah antara faktor ramai jemaah umrah memilih melanggan pakej umrah dengan penerbangan AMAL.

"Apakah yang membuatkan hubungan ini berterusan? Kerjasama antara kami dan team AMAL sangat mudah dari awal perbincangan sehinggalah proses tempahan tiket sehinggalah jemaah pulang ke tanah air.

"Sepanjang tempoh sembilan tahun dan kemudiannya pada tahun 2017 Bersama AMAL, Andalusia telah mencapai hasrat menyantuni ratusan ribu tetamu Allah saban tahun dengan harga pakej umrah yang mampu milik namun tetap dapat mengekalkan perkhidmatan penerbangan bertaraf antarabangsa.

"Pada 19 hingga 30 April lalu, melalui penerbangan AMAL, satu dunia berasa insaf menyaksikan 30 jemaah umrah yang cacat penglihatan dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia melakukan ibadah tawaf," katanya.

Justeru, katanya, adalah menjadi harapan dengan kerjasama antara AMAL by Malaysia Airlines dan Andalusia itu dapat menyedarkan masyarakat khususnya bakal jemaah umrah bahawa betapa pentingnya mencari syarikat pengendali umrah yang bersedia dari awal dengan tiket penerbangan dan hotel penginapan di Makkah dan Madinah.

"Dari sudut prinsip kami, kami tidak boleh untuk menjual apa-apa 'barangan' selagi barangan itu tiada. Oleh yang demikian Andalusia akan terus melebarkan pemasaran kami ke seluruh Malaysia bagi menyedarkan orang ramai bahawa adalah penting untuk berurusan dengan syarikat yang boleh menjamin bahawa semua pakej yang ditawarkan mempunyai 'seat' yang 'confirmed'.

"Kami sesungguhnya percaya bahawa usahasama ini hanya akan berjaya dengan kerjasama semua pihak dan usaha yang bersungguh-sungguh.

"Niat kami hanyalah satu, iaitu untuk sedaya upaya mengekalkan harga pakej umrah serendah mungkin supaya boleh membuka peluang lebih ramai lagi umat Islam untuk berkunjung ke Baitullah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 2:04 PM
IDA Riswana (tiga kiri) bersama Muhammad Najmi menandatangani perjanjian kerjasama antara Andalusia bersama Malaysia Airlines bagi musim umrah 1446H (2024/2025) di  Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
IDA Riswana (tiga kiri) bersama Muhammad Najmi menandatangani perjanjian kerjasama antara Andalusia bersama Malaysia Airlines bagi musim umrah 1446H (2024/2025) di Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad