GAMBAR di telefon pintar menjadi rujukan Emir ketika melukis.
GAMBAR di telefon pintar menjadi rujukan Emir ketika melukis.
EMIR bersama koleksi lukisan yang dihasilkannya.
EMIR bersama koleksi lukisan yang dihasilkannya.
ANTARA karya lukisan milik Emir.
ANTARA karya lukisan milik Emir.
Redzuan Muharam


Hobi melukis mungkin kedengaran biasa tetapi tidak bagi Muhammad Emir Effendy Ahmad Lothfi, 21, yang obses menghasilkan lukisan kereta.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, minat itu tercetus sejak dia berumur tiga tahun selepas didedahkan oleh ayahnya yang juga seorang pelukis, Datuk Ahmad Lothfi Ibrahim, 46.

Seperti pelukis lain,Muhammad Emir atau lebih mesra dengan panggilan Emir turut berdepan kesukaran ketika mula berjinak-jinak dengan lukisan, tetapi tidak berputus asa kerana menganggap ia sebahagian proses pembelajaran.

“Tak tahu kenapa sejak kecil saya suka melihat kereta dan minat itu bertambah selepas ayah kerap membelikan mainan Hotwheels.

“Mula-mula, semuanya serba tidak kena hingga senget (lukisan) jadinya, tetapi semakin baik selepas saya mempelajari teknik lukisan yang betul daripada ayah.

“Memang susah menghasilkan lukisan kereta kerana semua garisan perlu selari, jika silap lain jadinya, tetapi sebab minat, saya cuba dan akhirnya dapat melukis tanpa menggunakan pembaris,” katanya yang juga penuntut Diploma Seni Halus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka.

Emir berkata, disebabkan minat, dia sanggup terperap di dalam bilik selama berjam-jam untuk menyiapkan satu-satu lukisan.

Setakat ini dia sudah menghasilkan 500 lukisan kereta.

Menurut Emir, pernah juga dia tidur pada jam 5 pagi hanya untuk menghasilkan lukisan yang diinginkan.

“Saya tidak suka melakukan sesuatu sekerat jalan, jadi akan terus melukis tanpa berlengah selepas datangnya ilham.

“Selagi tidak siap, selagi itulah saya akan melukis di dalam bilik dan keluarga sudah faham dengan tabiat itu,” katanya yang kini mahir melukis menggunakan pen.

Meskipun lebih cenderung dengan lukisan kereta, Emir juga mahu lebih mahir dalam menghasilkan karya lain seperti potret dan figura.

Bagi Emir, kemahiran itu penting kerana cita-citanya adalah menjadi pelukis serba boleh dan pensyarah dalam bidang berkenaan.

“Saya tidak mahu dikenali sebagai pelukis yang mempunyai kelebihan tertentu saja, tetapi ingin jadi versatil.

“Sebab itu, saya cuba menghasilkan pelbagai jenis lukisan sepanjang tempoh pengajian walaupun lebih minat melukis kereta,” katanya yang pernah menyertai acara ARTDIALOGO 2016 di Manila, Filipina, November tahun lalu.

Selain melukis, Emir turut menjual hasil lukisannya kepada mereka yang berminat.

“Sebenarnya, sejak di kampus lagi saya sudah menjual lukisan dan duit itu digunakan untuk membeli alat melukis, pewarna dan lain-lain.

“Kini, saya menjual pula lukisan di Pior Art Gallery serta Bangunan D’Mara di Ipoh pada setiap Sabtu pada sebelah malam dan rasa puas bila ada yang berminat untuk membeli hasil kerja saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:54 AM