RAMLI menunjukkan hasil siasatan pada sidang media. FOTO Aziah Azmee
RAMLI menunjukkan hasil siasatan pada sidang media. FOTO Aziah Azmee
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sumbang RM250, terima terima hadiah seekor ayam kampung, atau manfaat RM13 setiap bulan sepanjang hayat. Itu modus operandi dilakukan sindiket penipuan pelaburan berpangkalan di Kinta, Perak yang menjerat 85 mangsa setakat ini dengan kerugian mencecah RM3.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof berkata, bertindak atas laporan dibuat mangsa, pihaknya menjalankan beberapa serbuan di premis sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Labuan.

"Hasil serbuan, 11 individu membabitkan lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 38 hingga 56 tahun ditahan. Mereka yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pengasas, pengarah, setiausaha, kerani, ejen serta sukarelawan pertubuhan terbabit.

"Turut dirampas adalah 13 buah kenderaan pelbagai jenis, wang tunai RM1,000, 13 rantai emas, dua cincin emas, 20 telefon pintar, empat tablet, 17 komputer riba, lapan buku cek, 37 keping kad bank, 71 set pelbagai dokumen, 11 cop pelbagai jenis, 17 kain rentang dan beberapa barangan lain yang disyaki berkaitan dengan kegiatan penipuan yang dijalankan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ramli berkata, berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sejak awal tahun lalu dan menawarkan pelaburan kononnya berkaitan perniagaan ayam kampung.

"Program perniagaan ini menawarkan pelaburan minimum RM250 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM13 sebulan atau boleh ditukar dengan seekor ayam kampung.

"Wang pelaburan dimasukkan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama pertubuhan terbabit. Bagaimanapun, bermula September tahun lalu, pelabur tidak lagi menerima keuntungan dijanjikan," katanya.

Menurutnya, pasukan siasatan setakat ini melaksanakan pembekuan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 terhadap 34 akaun bank dan Unit Trust dengan nilai keseluruhan RM6.5 juta.

"Tindakan penyitaan mengikut AMLATFPUAA 2001 juga dibuat terhadap 13 kenderaan dengan anggaran nilai RM2.9 juta. Turut disita adalah 2,143 kambing baka shami atau biri-biri. Anggaran nilai haiwan yang disita masih belum diperoleh.

"Sehingga kini, 85 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan skim pelaburan ini dengan nilai kerugian mencecah RM3.2 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 2:02 PM