MOHD Khairuddin yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan menonjolkan bakat melukis dengan menggunakan kaki dan mulut. FOTO Ihsan Mohd Khairuddin
MOHD Khairuddin yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan menonjolkan bakat melukis dengan menggunakan kaki dan mulut. FOTO Ihsan Mohd Khairuddin
Noor Hidayah Tanzizi


Pasir Mas: Pemuda istimewa yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan ini nyata memberi inspirasi apabila mengatasi kekurangan diri dengan kelebihan melukis serta mencanting batik menggunakan kaki dan mulut.

Ini kerana Mohd Khairuddin Che Rani, 34, sebelum ini pernah tidak mendapat kepercayaan atas keupayaan melukis hanya kerana kekurangannya itu.

Namun kini pemuda berasal dari Pasir Mas itu boleh berbangga dengan usahanya yang sudah melukis lebih 1,000 karya dan menyertai hampir 100 pameran lukisan dalam dan luar negara sejak 14 tahun lalu.

Malah, Mohd Khairuddin turut membuktikan keupayaan diri dalam melakukan aktiviti harian termasuk memandu kereta yang tidak diubah suai dan memasak seperti insan normal lain.

Mohd Khairuddin berkata, dia tidak pernah menganggap kekurangannya sebagai penghalang untuknya berdikari dan mengejar kejayaan sebaliknya ia dijadikan kelebihan serta pembakar semangatnya.

Ahli Persatuan Pelukis Mulut dan Kaki (MFPA) itu berkata, dia berkerja sebagai pelukis sepenuh masa yang memerlukannya menyediakan lima karya setiap bulan untuk majikannya dan dia antara lapan pelukis istimewa yang berkarya menggunakan kaki dan mulut.

"Saya minat melukis sejak di bangku sekolah rendah dan semakin aktif sejak berusia 17 tahun. Saya akan menggunakan kaki untuk melukis, manakala mencating batik akan dilakukan dengan mulut.

"Allah SWT memang tak beri dua tangan pada saya tetapi Dia masih beri kaki serta mulut untuk saya menonjolkan bakat melukis yang menjadi sumber rezeki dan bersyukur dengan kelebihan itu," katanya kepada Harian Metro.

ANTARA hasil karya Mohd Khairuddin. FOTO Ihsan Mohd Khairuddin
ANTARA hasil karya Mohd Khairuddin. FOTO Ihsan Mohd Khairuddin

Menurutnya, kerja melukis menggunakan kaki dan mulut pada mulanya tidak mudah, namun kini ia sudah dapat dilakukan dengan baik tanpa kekok dan mengakui melukis dapat memberinya kegembiraan.

"Lukisan adalah medan saya 'meluahkan' perasaan dan ekspresi diri. Saya lebih suka melukis pemandangan dan lukisan abstrak kerana sukakan keindahan alam semula jadi serta warna warni corak kehidupan.

"Biarpun menggunakan kaki dan mulut tetapi tempoh masa untuk menyiapkan satu karya sama saja seperti pelukis lain, namun ia bergantung kepada mood dan komitmen kerja lain juga. Paling sekejap saya dapat siapkan lukisan dalam masa sehari," katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, dia pernah melalui fasa sedih apabila ada yang beranggapan insan istimewa sepertinya tidak mampu menghasilkan karya sebagus itu, malah ada yang mengatakan dia tidak mampu mencapai kejayaan serta menjalani hidup berdikari.

"Ada yang sangka lukisan itu dihasilkan pelukis lain kerana tidak percaya saya melukisnya dengan kaki dan itu dijadikan pembakar semangat kerana kekurangan diri bukan tiket untuk menyerah dan alasan untuk saya tidak mengejar kejayaan.

"Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan ibu bapa (Che Rani Mat Hassan, 62, dan Rohana Mat Zin, 58) saya dapat atasi kekurangan diri.

"Malah, saya bersyukur isteri (Nur Azwani Ahmad, 29) juga sudi menerima kekurangan saya dan menjadi pendorong untuk terus mengembangkan bakat," katanya pelukis sepenuh masa di Mouth & Foot Painting Artist Sdn Bhd.

Katanya, dia menjadikan pelakon, pelawak, penyanyi, pelukis dan kartunis, Imuda sebagai inspirasi dalam bidang lukisan selain gurunya dikenali sebagai Cikgu Nizam dan Cikgu Mustafa.

"Saya bersyukur dapat menyertai banyak pameran bukan saja dalam negara tetapi juga luar negara seperti Singapura dan Myanmar. Impian saya pastinya mempunyai galeri lukisan sendiri dan berdiri sebaris nama hebat pelukis negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 6:30 PM