NOR Asmawati.
NOR Asmawati.
PERALATAN yang digunakan untuk melukis.
PERALATAN yang digunakan untuk melukis.
ROS merah seakan-akan berdarah.
ROS merah seakan-akan berdarah.
TRANSFOMASI wajah Johnny Depp.
TRANSFOMASI wajah Johnny Depp.
LUKISAN watak Groot.
LUKISAN watak Groot.
COLOSSAL Titan.
COLOSSAL Titan.
Fatin Farhana Japre


Di sebalik lukisan wajah watak animasi Colossal Titan, siapa sangka Nor Asmawati Abdullah, 27, menghasilkan lukisan berkenaan berdasarkan wajahnya sendiri.

Melihatkan lebih 30 hasil seni lukisan wajah Nor Asmawati di Instagramnya (@makeupbyasmawati) seperti watak animasi, tema seram dan transformasi wajah Leonardo DiCaprio, Rihanna, Vladimir Putin, penulis sangat terpegun!

Bukan saja pandai melukis, Nor Asmawati juga seorang jurusolek pengantin dan sentuhannya amat cantik serta natural.

“Saya mula membabitkan diri sebagai jurusolek sejak hujung tahun 2014 selepas mendirikan rumah tangga pada tahun yang sama. Sebelum itu, saya bekerja di sektor awam dan berhenti kerja atas permintaan suami.

“Kira-kira sebulan saya menjadi suri rumah sepenuh masa, saya tidak betah duduk saja dan mengambil inisiatif menghadiri kelas solekan. Sehingga kini saya ada menerima tempahan solekan bagi majlis pertunangan dan perkahwinan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur.

“Namun, pada awal tahun ini saya mula berjinak-jinak melukis watak animasi, tema seram dan transformasi wajah orang lain pada muka saya sendiri.

“Teknik asas lukisan saya banyak belajar dari YouTube dan pelukis luar negara.

“Buat masa ini, ia sekadar hobi masa lapang tapi dalam masa tiga tahun apabila sudah mahir, saya akan jadikannya sebagai kerjaya dalam bidang solekan ‘special effects’ untuk perfileman tanah air,” kata anak kelahiran Pahang ini.

Katanya lagi, dia selalu menghabiskan masa kira-kira dua jam di depan cermin di studio kediamannya untuk menghasilkan lukisan bertema seram seperti tengkorak.

“Saya lebih terarah kepada lukisan bertema seram seperti tengkorak , raksasa dan watak animasi. Ini kerana saya nak cabar diri dan mempunyai identiti sendiri. Seminggu hanya tiga kali melukis di wajah saya sendiri kerana bahan kimia yang terkandung dalam cat muka.

“Minat saya ini mendapat perhatian umum sebab itu ada yang minta saya adakan kelas. Tetapi kerana kekangan masa saya ambil inisiatif membuat tutorial dan memuat naik video di Instagram untuk mereka belajar sendiri,” kata anak keenam daripada sembilan beradik ini.

Hobi ini diilhamkan daripada jurusolek luar negara kerana hasil tangan mereka sangat menakjubkan.

Jika dulu, Nor Asmawati hanya membeli dan mengumpul alat solek tetapi kini dia juga mengumpul cat muka pelbagai warna.

“Selain tema seram dan watak animasi, saya juga cuba melukis potret seperti Johnny Depp, Leonardo DiCaprio, dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Seperti transformasi wajah Johnny Depp, saya lukis di wajah suami dan ramai pengikut di Instagram saya sukakannya.

“Kini saya masih dalam proses mengasah bakat dan berharap skil dan kreativiti ini dapat digunakan dalam industri perfileman tanah air untuk memberi impak realiti kepada penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 11:23 AM