NORSOLIHIN menunjukkan tangan kirinya yang kini tidak mampu bergerak selepas terbabit dalam kemalangan sejak 17 tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NORSOLIHIN menunjukkan tangan kirinya yang kini tidak mampu bergerak selepas terbabit dalam kemalangan sejak 17 tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Walaupun tangan kirinya hampir putus selepas terbabit dalam kemalangan 18 tahun lalu sehingga mengalami cacat kekal, namun Norsolihin Mat Said, 40, tetap gigih mencari rezeki demi menyara keluarga.

Norsolihin berkata, dia kini mengambil upah meracun rumput dan seawal jam 7 pagi, dia keluar dari rumah untuk mencari rezeki.

Katanya, sebahagian besar pelanggan pula sudah menempah khidmatnya lebih awal dengan upah dikenakan bergantung kepada keluasan kawasan yang diracun.

"Kebiasaannya, pelanggan mengirim mesej melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat tempahan. Ia memudahkan saya merancang jadual kerja.

"Saya mengambil upah meracun rumput di sekitar Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Kuala Krai, dan Bachok," katanya ditemui.

Bapa kepada enam anak berusia tujuh bulan hingga 10 tahun ini berkata, kecacatan yang dialami bukan alasan untuk dia terus mengharapkan simpati kerana kekurangan yang ada ini menjadikannya lebih cekal untuk terus berusaha.

"Walaupun saya memperoleh bantuan bulanan berjumlah RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tetap tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada bantuan berkenaan.

"Saya mahu berdikari dan tidak mahu kecacatan ini menjadi batu penghalang," katanya.

Norsolihin berkata, kemalangan yang berlaku pada 21 Februari 2006 masih segar diingatannya kerana ia mengubah statusnya daripada insan normal menjadi orang kurang upaya (OKU) fizikal.

"Insiden itu berlaku ketika motosikal yang ditunggang dirempuh lori pada jam 2 pagi di Bukit Tinggi, Bentong, ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di Pahang.

"Kemalangan itu menyebabkan saya mengalami kecederaan parah sehingga tangan kiri hampir putus," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik dan akan terus berusaha mencari rezeki untuk keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 2:08 PM