AHLI Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Datuk Abdul Shukor Idrus merasmikan Pameran Seni Visual Bikers Kental pada 20 Januari lalu.
AHLI Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Datuk Abdul Shukor Idrus merasmikan Pameran Seni Visual Bikers Kental pada 20 Januari lalu.
HASIL seni Ahmad Marzuki bertajuk ‘Siputih Kuning’.
HASIL seni Ahmad Marzuki bertajuk ‘Siputih Kuning’.
LUKISAN Norton mengimbau kenangan penonton dan peminat motosikal.
LUKISAN Norton mengimbau kenangan penonton dan peminat motosikal.
ANTARA pelukis yang mengambil bahagian (dari kiri) Ahmad Marzuki, Raduan, Datuk Dr Ahmad Lothfi, Abdullah dan Irwan.
ANTARA pelukis yang mengambil bahagian (dari kiri) Ahmad Marzuki, Raduan, Datuk Dr Ahmad Lothfi, Abdullah dan Irwan.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Menyaksikan lukisan motosikal Norton dari jauh, ia serta-merta mengimbau kembali zaman kanak-kanak penulis kerana bunyinya sering membingitkan telinga.

Ketika itu, tidak ramai memiliki motosikal model berkenaan. Jadi, setiap kali terdengar bunyinya dari jauh penulis sudah dapat meneka jiran sebelah rumah sudah pulang.

Lukisan yang membangkitkan suasana masa lalu itu dilukis dengan begitu terperinci apabila hampir setiap elemen pada motosikal berkenaan tidak tertinggal.

Hasil karya Raduan Norudin itu turut mewujudkan suasana klasik dengan pemilihan warna latar belakang yang bersesuaian.

“Saya suka Norton kerana ia motosikal klasik dan bertepatan dengan tema ‘Bikers Kental’ saya dapat menghasilkan lukisan ini yang sekian lama ingin saya tampilkan, tapi belum ada peluang.

“Biasanya apabila disebut Norton, kita akan teringat bunyi ekzosnya yang kuat dan penunggang tampak garang ketika menunggang motosikal itu,” katanya pada Pameran Seni Visual ‘Bikers Kental’ @ Istana Budaya di ibu kota, baru-baru ini.

Raduan yang juga pengarah pameran itu berkata, penampilan karya bertema ‘Bikers Kental’ diharap dapat memupuk minat penunggang motosikal untuk lebih menghargai dan menghayati karya seni visual.

Sempena pementasan teater di Istana Budaya, Pameran Seni Visual Bikers Kental yang diadakan di lobi Istana Budaya melengkapkan pengalaman penonton yang antaranya terdiri daripada peminat kenderaan itu.

Terdapat lukisan yang ditampilkan mendapat inspirasi daripada filem ‘box office’ berjudul ‘I Take Care U’.

Selain motosikal berkuasa tinggi, Ahmad Marzuki Abu Hasan menghasilkan lukisan skuter Vespa kuning menggunakan akrilik atas kanvas.

Abdullah Mat Akhir pula menghasilkan lukisan motosikal berkuasa tinggi berlatarbelakangkan Istana Budaya kerana bertepatan dengan tema ditampilkan.

Karya itu diberi nama ‘Idamanku’ kerana mendapat idea dan inspirasi motosikal idamannya yang tidak berkesempatan untuk dimilikinya iaitu Yamaha Virago.

Selain membantu mempromosi teater Bikers Kental yang berlangsung, pameran juga bertujuan memperluas pembangunan seni visual negara.

Pameran disertai lima pelukis Istana Budaya dan empat pelukis jemputan itu juga bertujuan menghidupkan suasana di lobi Istana Budaya selain pameran dan jualan model motosikal berkuasa tinggi.

Sebanyak 17 lukisan dihasilkan menggunakan pelbagai jenis medium seperti medium akrilik atas kanvas, cat air atas kertas dan campuran media.

Pelukis yang turut serta ialah Datuk Dr Ahmad Lothfi Ibrahim, Raduan Norudin, Ahmad Marzuki Abu Hasan, Abdullah Mat Akhir, Irwan Idris, Razali Itam, Roslan Itam, Abu Zaki Hadri dan Ahmad Termizi.

Pelukis diberi kebebasan menghasilkan karya mengikut genre masing-masing dengan tema diberi, namun kebanyakannya memilih ini melukis jentera motosikal sebagai subjek.

Antara yang menarik perhatian penulis iaitu lukisan abstrak bertajuk ‘Never Think Twice’ karya Irwan kerana memberi sisi pandangan berbeza dan lebih subjektif.

Lukisan itu tidak menampakkan motosikal, tetapi lebih mengetengahkan jiwa penunggang.

“Saya menyelami jiwa ‘bikers’ yang kebanyakannya kental dan berani serta tidak berfikir dua kali ketika menghasilkan lukisan dan tanpa ragu-ragu saya hasilkan garisan ini secara berani.

“Berbeza dengan karya seni lain, kebiasaannya saya berfikir dengan teliti dan mengatur di mana ingin letakkan garisan mengikut aturan tertentu.

“Mereka berani terutama ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi dan apabila membelok, itu menunjukkan keberanian mereka tanpa berfikir dua kali.

“Ketika menghasilkan karya ini saya menyelami jiwa bikers dengan menjadi berani dan tidak berfikir dua kali untuk menghasilkan garisan,” katanya.

Bagi Dr Ahmad Lothfi, pameran bertema motosikal mungkin kali pertama diadakan di negara ini dan ia bukan hanya menarik minat peminat seni, malah penunggang motosikal untuk menghayati karya seni dihasilkan.

“Sebagai seorang ‘bikers’, sebelum ini kami tidak pernah terfikir untuk berkunjung ke galeri seni atau pameran berasaskan kesenian visual seperti ini, tapi selepas pameran ini, rata-rata kelab penunggang motosikal menjadikan kunjungan ke pameran ini sebagai aktiviti hujung minggu mereka.

“Ada juga yang datang pada pada hari biasa dan kami menghargai pembabitan mereka yang menyokong industri seni tempatan,” katanya.

Pameran sehingga 31 Januari ini dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 11:44 AM