Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: “Melukis ini bagi saya bukan sekadar contengan, tapi sumber pendapatan dan inspirasi kepada orang lain. Jika berbakat (melukis), teruskan,” kata pelukis muda, Naddia Zakaria, 31.

Mula berjinak-jinak melukis secara serius pada 2011, idea lukisannya adalah berkait isu semasa seperti kisah pelarian Syria, alam sekitar serta luahan perasaan.

Katanya, walaupun tiada pendidikan formal melukis, minat mendalam terhadap lukisan menjadi pencetus semangatnya aktif dalam bidang itu.

“Sejak kecil saya suka melukis dan menconteng lukisan komik kartun Lat. Minat itu terus membara dan saya mencuri-curi masa melukis selepas bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT).

“Apabila dewasa, saya mula cuba melukis pelbagai lukisan. Sehingga kini saya sudah melukis 60 hingga 70 lukisan termasuk yang sudah terjual,” katanya ditemui pada Majlis Koktail Pameran Seni di Galeri Prima, Anjung Riong, Balai Berita, Bangsar, di sini, semalam.

Majlis santai itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mahfar Ali, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Badrulhisham Othman, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad@Salim Bachok dan Pengurus Galeri Prima, Norazlinda Aziz.

Naddia berasal dari Kedah, antara lima pelukis yang terbabit dalam Pameran Visual Interpretasi Wanita 2016 bermula 8 Ogos lalu hingga 9 September depan di Galeri Prima.

Ibu kepada seorang anak ini berkata, dia bertuah kerana akhirnya keluarganya yang sebelum ini menggalakkan dia mempelajari IT dapat menerima kecenderungannya dalam seni lukisan.

“Masa untuk menyiapkan lukisan tidak menentu. Ada ketika saya siap melukis sehari saja, ada masa sehingga setahun. Inilah uniknya melukis, kerana idea datang tidak tentu masa.

“Terima kasih kerana beri peluang pelukis baru seperti saya membuat pameran di galeri ini yang amat bagus sebagai platform untuk pelukis mempamerkan karya mereka,” katanya yang pernah membuat pameran lukisan berkumpulan pada 2011 di Starhill Gallery, dekat sini.

Sebanyak 46 lukisan keseluruhan dipamerkan pada pameran itu yang dibuka kepada orang ramai mulai jam 10 pagi hingga 6 petang.

Koleksi lukisan mereka bukan saja dikumpul oleh pengumpul karya tempatan, malah luar negara.

Selain Naddia, pameran lukisan artis wanita ini disertai pelukis terkenal lain seperti Rube Jamal, Zaidah Abdullah, Marisa R Ng dan pelukis lelaki prolifik, Suzlee Ibrahim sebagai pelukis jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 9:38 AM
NADDIA (kiri) menerangkan kepada pengunjung mengenai hasil lukisannya pada Pameran Visual Interpretasi Wanita 2016 di Galeri Prima, Balai Berita NSTP.
NADDIA (kiri) menerangkan kepada pengunjung mengenai hasil lukisannya pada Pameran Visual Interpretasi Wanita 2016 di Galeri Prima, Balai Berita NSTP.