GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Masih ramai yang berdegil dan menghisap rokok di kawasan larangan. Ini terbukti apabila sebanyak 22,554 notis kesalahan merokok di premis makan dan tempat awam dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang 1 Januari hingga 31 Mei lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu direkodkan dalam 7,071 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

Katanya, KKM tegas dengan sentiasa mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Sepanjang tahun 2023, sebanyak 16,046 bilangan operasi penguatkuasaan dilakukan berbanding 12,773 pada 2022 dan 6,598 pada tahun 2021 manakala antara Januari hingga Mei lalu, 7,071 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan.

"Hasil daripada aktiviti penguatkuasaan berterusan, KKM sudah mengeluarkan 41,581 notis kesalahan merokok pada 2023 berbanding 30,648 pada 2022 dan 7,818 pada 2021 manakala 22,554 sepanjang Januari hingga 31 Mei 2024," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) berhubung tindakan tegas diambil KKM memandangkan larangan merokok di semua restoran, premis makanan dan tempat awam yang berkuatkuasa 1 Januari 2019 semakin diabaikan rakyat berikutan kelemahan penguatkuasaan.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya turut meningkatkan pembabitan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan swasta, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjalankan aktiviti promosi dan advokasi bagi memastikan pematuhan kepada larangan merokok dipatuhi.

"Terbaru KKM memperkenalkan Program Walkabout Premis Bersih Bebas Asap (BeBAs) bagi pemerkasaan masyarakat dengan kerjasama inter agensi, NGO dan persatuan peniaga dalam

memastikan pematuhan terhadap kebersihan premis makanan serta larangan merokok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 1:52 PM