ANTARA lukisan yang dihasilkan oleh Aiman Zamri. FOTO Ihsan AIMAN ZAMRI
ANTARA lukisan yang dihasilkan oleh Aiman Zamri. FOTO Ihsan AIMAN ZAMRI
Redzuan Muharam


Klang: Hasil pendapatan diterima tidak menentu namun minat mendorong Aiman Zamri mencurahkan kreativitinya dengan menjadi pelukis sepenuh masa.

Kesungguhan Aiman, 28, yang menetap di Bandar Puteri, di sini terbukti kerana sanggup bersengkang mata untuk menyiapkan lukisan tempahan pelanggan.

Menurut Aiman, lukisan paling lama untuk disiapkan mengambil masa dua minggu dan pernah juga antara 140 hingga 170 jam atau bersamaan lima ke tujuh hari.

Bagaimanapun, kepenatannya hilang selepas melihat hasil lukisan menjadi seperti yang diharapkan.

Berkongsi perihal dirinya, Aiman berkata, sejak kecil iaitu seawal umur tujuh tahun dia sudah minat melukis.

"Pendidikan Seni adalah subjek kegemaran saya ketika di sekolah namun tak boleh fokus itu saja kerana perlu beri tumpuan juga dengan matapelajaran lain.

"Tapi keluarga tahu saya minat melukis jadi beri galakan dan beri dorongan untuk saya berkarya walaupun emak dan ayah bukan orang seni.

"Jadi, itu sebabnya saya jadi bersemangat cuma dalam keluarga, hanya saya dan adik saja minat cuma dia cenderung dengan lukisan kartun dan anime," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi cabaran sebagai pelukis, Aiman tidak menafikan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara waktu paling sukar untuk mendapatkan tempahan.

Menurut Aiman, dia sendiri pernah melalui dua bulan tiada tempahan hingga tidak meraih sebarang pendapatan.

"Waktu itu, saya baru mula jadi pelukis dan memang sukar kerana siapa nak labur duit untuk beli lukisan?

"Orang lebih cenderung gunakan duit untuk beli makanan dan keperluan asas, saya pun faham namun keadaan bertambah baik sejak dua tahun lalu.

"Jadi, ada dapat tempahan cuma tak semua orang faham macam mana pelukis cari makan kerana apabila sebut harga misalnya dalam RM2,000 ke RM3,000, ada yang minta diskaun dengan jumlah tidak munasabah," katanya.

Aiman berkata, individu berkenaan mungkin tidak faham kesukaran dan cabaran pelukis dalam menghasilkan sesuatu lukisan.

"Saya pernah hasilkan potret realism (imej realistik) kakak dan abang ipar untuk majlis perkahwinan mereka.

"Bayangkan,saya ambil masa lima jam untuk lukis bahagian tudung saja kerana nak dapat hasil yang sama.

"Jadi bukan senang untuk hasilkan lukisan nampak hidup dan bayaran paling mahal saya pernah terima adalah RM 7,000 serta RM5,500 untuk satu lukisan namun bukan setiap masa begitu," katanya.

Aiman berkata, dia cenderung menghasilkan lukisan berunsur seram dengan ilham tercetus daripada mimpi dan ada ketikanya imaginasi.

"Lazimnya, saya gemar melukis antara jam jam 12 tengah malam hingga 3 pagi kerana lebih tenang tapi kira-kira tiga tahun lalu, saya terpaksa pergi berubat secara tradisional apabila kerap ditindih ketika tidur.

"Menurut ustaz yang merawat saya, ada kemungkinan ia adalah gangguan makhluk halus yang cuba mengganggu kerana saya suka melukis imej seram.

"Setakat ini, itu saja pengalaman paling menakutkan saya pernah lalui dan bersyukur kerana tidak kena gangguan lagi," katanya.

Berkongsi hala tujunya, Aiman merancang untuk mengukuhkan lagi jenama diri dan portfolionya, salah satunya menerusi TikTok dengan harapan lebih dikenali.

"Selagi terdaya, saya mahu terus melukis kerana tak nak sia-siakan bakat anugerah yang Allah SWT kurniakan.

"Pada masa sama, saya menyimpan impian menyertai pameran di galeri seni luar negara dan berharap impian itu jadi kenyataan satu hari nanti," katanya.

#kw minat, bakat, pelukis, melukis, lukisan, tempahan, pelanggan, pkp, tiktok, klang, selangor

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 7:05 PM