HIRZUAN (depan dua dari kanan) bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Melukis  ‘Pior Art and Engine’.
HIRZUAN (depan dua dari kanan) bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Melukis ‘Pior Art and Engine’.
PEMENANG tempat pertama, Amin menunjukkan hasil karya lukisan motosikal berkuasa tinggi yang dilukisnya secara spontan.
PEMENANG tempat pertama, Amin menunjukkan hasil karya lukisan motosikal berkuasa tinggi yang dilukisnya secara spontan.
MUHAMMAD Emir di tempat kedua dengan lukisan kereta klasik.
MUHAMMAD Emir di tempat kedua dengan lukisan kereta klasik.
Rosman Shamsudin


Kira-kira 40 pelukis di negara ini menyertai pertandingan melukis motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson dan kereta klasik dalam Pertandingan Melukis ‘Pior Art and Engine’ sempena Pameran Limpahan Warna di Muzium Darul Ridzuan, Perak, baru-baru ini.

Malah 40 karya lukisan pelbagai perspektif juga berjaya dihasilkan dalam pertandingan anjuran Persatuan Pelukis Perak (PPPk) dengan kerjasama Tourism Perak dan Muzium Perak Darul Ridzuan.

Semua peserta mempamerkan bakat masing-masing dengan kreativiti tersendiri bagi menghasilkan lukisan motosikal berkuasa tinggi dan kereta klasik yang dijemput khas dari Kumpulan Motosikal Harley dari Kuala Lumpur, Broder Hood Riders dan Yope Choper dari negeri itu.

Setiausaha PPPk Hirzuan Zulkifli, 46, berkata pertandingan itu secara tidak langsung menghimpunkan sebahagian pelukis di negara ini.

Katanya, melukis motosikal berkuasa tinggi secara spontan bunyinya mudah untuk diaplikasikan dalam bentuk lukisan namun tidaklah semudah yang disangkakan.

Ia kerana memerlukan kemahiran kendiri dan daya pengamatan serta penelitian yang sepenuhnya bagi menghasilkan karya hebat.

Pada masa sama pertandingan ini juga bertujuan mempelbagaikan sumber ilham pelukis dan salah satu batu loncatan kepada pelukis muda mempamerkan bakat serta menimba pengalaman bersama pelukis ternama dalam bidang ini.

“Karya yang dihasilkan pelukis yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini memang kreatif dan berkualiti hingga pengadil pertandingan sukar untuk membuat keputusan.

“Pihak PPPk berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi pelukis tempatan terutama pelukis muda mengambil bahagian supaya lebih banyak bakat seni dicungkil.

“Sepanjang pertandingan ini peserta mempamerkan bakat dan saling bertukar idea sekali gus mengeratkan ikatan bagaikan keluarga besar,” katanya.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Presiden PPPk, Datuk Dr Ahmad Lothfi Ibrahim.

Pelukis yang berasal dari Lenggong, Amin Busu, 50, dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM 1,000 dan tempat kedua mendapat wang tunai RM500 dimenangi Muhammad Emir, 20, dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka dan tempat ketiga disandang pelukis sepenuh masa, M Aminuddin Osman, 46, dari Ipoh.

Hirzuan berkata pertandingan yang dijalankan ini juga bertujuan merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perak 2017.

“Pertandingan ini secara langsung dapat memperkenalkan negeri ini yang kaya dengan kawasan pelancongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 2:48 PM