LOKASI keadaan bah termenung yang melanda kediaman penduduk di Kampung Seberang Batu Badak disini sejak awal November lalu. FOTO AHMAD ISMAIL.
LOKASI keadaan bah termenung yang melanda kediaman penduduk di Kampung Seberang Batu Badak disini sejak awal November lalu. FOTO AHMAD ISMAIL.
Ahmad Ismail

Segamat: Setiap kali Kampung Seberang Batu Badak di sini, dilanda banjir, keluarga Raja Noraishah Raja Shahrin, 23, antara yang awal mendaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan dalam masa sama yang akhir pulang ke rumah.

Ini kerana rumahnya terletak berhampiran paya sering dilanda banjir termenung menyebabkan dia dan suami, Mohd Firdaus Zamri, 23, menjadi penghuni tetap di PPS pada musim tengkujuh.

"Kebiasaannya setiap kali berpindah, kami terpaksa bermalam di PPS antara 15 hari hingga tiga minggu.

"Dalam tempoh itu saya akan pulang ke rumah setiap empat jam kerana mahu memastikan keselamatan haiwan peliharaan seperti ayam, itik dan kucing dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak Segamat di sini, hari ini.

Ibu kepada seorang anak berusia tujuh bulan itu, berkata banjir termenung kali ini menyebabkan kediamannya ditenggelami air sehingga 0.5 meter dan hampir menenggelamkan sebuah reban ayam selain pelbagai peralatan menangkap ikan milik suaminya.

Menurutnya, kediamannya mudah dinaiki air setiap kali hujan lebat dalam tempoh lama kerana terletak di kawasan rendah menerima limpahan air dari paya berdekatan.

"Lazimnya kami hanya berpindah ke PPS dua kali dalam setahun, namun berikutan banjir yang buruk, pernah beberapa tahun lalu kami terpaksa tiga kali berpindah ke PPS," kata suri rumah itu.

Seorang lagi penduduk, Edah Othman, 55 berkata, setiap kali hujan lebat berterusan penduduk Kampung Seberang Batu Badak mula resah dan berkemas untuk berpindah di PPS.

Katanya, banjir termenung berlaku hampir setiap tahun dan setakat ini tidak nampak dilema yang ditanggung penduduk akan berakhir.

"Kami pernah menghuni PPS hampir sebulan pada bah besar 2015. Banjir berlaku akibat hujan lebat dan memburukkan air lambat surut kerana fenomena banjir termenung," katanya.

PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak mula beroperasi jam 8 pagi pada 2 November lalu kini menempatkan seramai 12 keluarga dan 39 mangsa.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Segamat, Datuk Sri Poobalan Ponnusamy turut melawat PPS berkenaan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 2:26 PM