Kediaman penduduk di Kampung Seberang Batu Badak dan di Gemerih di sini yang masih digenangi banjir termenung. FOTO AHMAD ISMAIL
Kediaman penduduk di Kampung Seberang Batu Badak dan di Gemerih di sini yang masih digenangi banjir termenung. FOTO AHMAD ISMAIL
Oleh Ahmad Ismail


Segamat: "Kawasan kediaman dilanda banjir termenung, jika kami dibenarkan pulang pun, terpaksa bergelap kerana bekalan elektrik terputus," kata mangsa banjir, Salmiah Munarji.

Menurut Salamiah, 62, hujan lebat jam 5.45 petang kelmarin, menyebabkan kawasan Kampung Seberang Batu Badak, Gemerih dan Paya Pulai di sini, ditenggelami banjir sedalam hampir dua meter.

Katanya, banjir termenung akan mengambil masa lebih lama untuk surut sekiranya berlaku air pasang di Sungai Muar.

"Banjir melanda secara mendadak menyebabkan penduduk terpaksa keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Walaupun hujan sudah berhenti selama dua hari, namun kampung digenangi air dan ia menyukarkan penduduk untuk pulang," katanya ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemerih di sini, hari ini.

Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan paling awal dipindahkan ke PPS namun masih belum dapat pulang akibat banjir termenung.

"Keadaan ini menimbulkan kesulitan kerana penduduk perlu menunggu lama sebelum air surut sepenuhnya," katanya.

Malah katanya, banjir termenung juga menyebabkan ada penduduk terpaksa tinggal di PPS hampir sebulan ketika banjir besar melanda pada 2006 dan 2011.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak menasihati penduduk supaya sentiasa berhati-hati.

"Jangan sentuh peralatan elektrik yang ditenggelami air. Pihak berkaitan akan memastikan bekalan elektrik di kawasan berkenaan disalurkan secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:43 PM