Maheran Adon antara mangsa bah di Kampung Seberang Batu Badak menginap di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak. FOTO AHMAD ISMAIL
Maheran Adon antara mangsa bah di Kampung Seberang Batu Badak menginap di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: Penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat di sini, reda berpindah semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi, walaupun baru lima hari pulang ke rumah akibat banjir.

Maheran Adon, 72, berkata dia dan keluarga berpindah ke PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di sini, 10.30 pagi tadi, selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.5 meter selepas hujan lebat.

Katanya, belum sempat hilang lelah selepas dapat pulang ke rumah, sekali lagi dia sekeluarga terpaksa berdepan saat getir meredah banjir untuk menyelamatkan diri.

"Sebelum ini, hampir seminggu kami berteduh di PPS dan pulang sebaik air mulai surut Selasa lalu. Belum habis bersihkan rumah, banjir datang lagi.

"PPS menjadi rumah kedua buat saya sekeluarga, namun berharap banjir segera pulih dan tidak berpanjangan kerana risau bah termenung hingga tiga minggu," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Raja Shahrin Tengku Ismail, 57, berkata setiap kali banjir, dia orang pertama berpindah ke PPS dan yang terakhir pulang ke rumah.

"Kampung ini memang terkenal dengan lokasi paling cepat banjir setiap kali musim tengkujuh dan terakhir surut.

"Naik perahu, turun perahu, macam inilah nasib saya setiap kali musim tengkujuh. Namun apa nak buat kerana ini sahaja rumah yang saya ada," katanya.

Menurutnya, paling lama dia sekeluarga berada di PPS adalah selama sebulan pada Januari dan Mac tahun lalu disebabkan banjir termenung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 4:54 PM