Padang ragut digenangi bah termenung. FOTO AHMAD ISMAIL
Padang ragut digenangi bah termenung. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: Banjir termenung di Kampung Seberang Batu Badak di sini, menyebabkan penternak kambing terpaksa mengeluarkan belanja agak besar setiap hari bagi membeli makanan kerana padang ragut bertukar menjadi tasik sejak minggu lalu.

Basir Miskam, 36, berkata, buat masa ini ada enam kambing di dalam kandang dan tidak dapat dilepaskan di padang ragut kerana dinaiki air.

Katanya, padang ragut yang terletak berdekatan kandang di belakang rumahnya sebenarnya sering ditenggelami air malah sehingga satu meter setiap kali musim tengkujuh.

"Apabila dilanda banjir, padang ragut akan bertukar jadi tasik kerana air termenung dan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk surut.

"Akibat banjir minggu lalu, kawasan ini sekali lagi digenangi air dan kambing ternakan saya tidak dapat dilepaskan meragut selain terpaksa diberi makanan yang dibeli," katanya.

Katanya, penduduk juga sering dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali musim hujan apabila air Sungai Segamat melimpah.

Sehingga hari ini, dua PPS masih beroperasi adalah di Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek Alai.

PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 43 mangsa daripada 12 keluarga manakala di Dewan Komuniti Kampung Tasek Alai pula dihuni 7 keluarga membabitkan 22 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 3:06 PM