KAWASAN yang dinaiki air di Kampung Seberang Batu Badak Segamat selepas hujan lebat.
KAWASAN yang dinaiki air di Kampung Seberang Batu Badak Segamat selepas hujan lebat.
Ahmad Ismail

Segamat: “Belum sempat habis cuci rumah akibat bah lalu, kini terpaksa pindah lagi,” kata Noramah Mohamad, 26, seorang penduduk Kampung Seberang Batu Badak di Jalan Segamat-Muar yang terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediamannya dilanda banjir sejak kelmarin.

Katanya, pada 8 Februari lalu, kediamannya dilanda banjir menyebabkan keluarganya terpaksa tinggal di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak selama dua minggu.

“Setiap kali banjir, kami terpaksa berpindah kerana rumah yang terletak di kawasan rendah dipenuhi air yang melimpah dari Sungai Muar selepas hujan lebat.

“Lebih memeritkan, kami terpaksa menunggu banjir termenung surut sebelum boleh kembali dan ia tidak berlaku dalam masa sehari dua malah berminggu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, air sungai yang melimpahi tebing menyebabkan kampung berkenaan banjir dan penduduk terjejas mula berpindah bermula jam 9 pagi dengan dibantu agensi bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu Badak, Abd Manap Munaji berkata, PPS Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 25 keluarga membabitkan 59 mangsa yang dibuka jam 9.30 pagi pada Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:08 AM