ANTARA kediaman penduduk di Kampung Kuala Paya di sini, yang dilanda bah mulai sejak tadi. FOTO Ahmad Ismail
ANTARA kediaman penduduk di Kampung Kuala Paya di sini, yang dilanda bah mulai sejak tadi. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: "Saya dan keluarga sudah lali dengan banjir. Kebiasaannya setiap kali berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kami terpaksa bermalam antara seminggu hingga 20 hari," kata Noraina Mohamad, 31.

Noraina antara penduduk yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak, di sini, selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.

Dia yang berasal dari Kampung Seberang Batu Badak berkata, kediamannya terletak berhampiran kawasan paya dan sering menjadi kawasan terawal dilanda banjir.

Ibu kepada dua anak lelaki berusia sembilan dan tiga tahun itu berkata, banjir termenung kali ini menyebabkan kediamannya ditenggelami air setinggi 0.4 meter.

"Biasanya, kami berpindah ke PPS sekurang-kurangnya dua kali setahun. Berikutan banjir yang buruk, tahun ini kami sudah berpindah tiga kali ke PPS, termasuk semalam.

"Saya akan pulang setiap dua hari jika paras air tidak berisiko kerana mahu memastikan keselamatan haiwan peliharaan seperti kucing dan ayam (di kawasan rumah)," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataannya berkata, dua PPS dibuka di daerah ini setakat 4 petang yang menempatkan 34 penduduk daripada 11 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Selain PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, PPS Kampung Kuala Paya dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Kuala Paya dan Kampung Batu Lima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:00 PM