Siti Rosnani dan Rusly meneliti dokumen vaksin selepas menerima suntikan di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Siti Rosnani dan Rusly meneliti dokumen vaksin selepas menerima suntikan di Kompleks Sukan Masjid Tanah hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Persoalan yang sering berlegar di fikiran seorang pelajar kelas pendidikan khas (KPK), sama ada sakit atau sebaliknya ketika menerima suntikan vaksin terjawab hari ini.

Sejurus selepas menerima suntikan dos pertama, Siti Rosnani Rusly, 17, masih mampu mengukir senyuman sebagai menandakan suntikan yang dibimbanginya itu pada hakikatnya sekadar gigitan semut.

Bapanya, Rusly Hussin, 65, berkata sebelum hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini anaknya sering bertanya sama ada dia akan berasa sakit atau sebaliknya.

"Dia takut untuk menerima suntikan kerana sebelum ini dia pernah menerima suntikan untuk rawatan penyakit lain.

"Puas saya memujuknya supaya jangan takut untuk menerima suntikan kerana ia amat penting untuk mencegah daripada dijangkiti wabak Covid-19," katanya ketika ditemui di PPV itu.

Rusly yang bekerja kampung berkata, anak keenam daripada tujuh adik-beradik itu bagaimanapun berjaya dipujuk untuk hadir di PPV berkenaan selepas menyaksikan beberapa rakannya sudah menerima vaksin dan mereka turut memujuknya supaya menerima suntikan itu.

Sementara itu, pelajar tingkatan tiga SMK Hang Kasturi, di sini Muhammad Ammar A'fif Hamdan berkata, dia gementar untuk menerima suntikan tetapi memberanikan dirinya selepas menyaksikan rakan sudah menerima vaksin.

"Malam tadi saya susah untuk tidur kerana bimbang sakit kena suntik tetapi selepas disuntik hari ini, semua kebimbangan itu terhapus," katanya.

Ibunya, Noor Azurah Mohamad, 32, berkata anak sulungnya itu agak gementar untuk menerima suntikan vaksin kerana suntikan yang diterimanya kerana sakit lain sebelum ini menyebabkan lengannya sengal beberapa hari.

"Dia tidak mahu mengalami sengal seperti suntikan sebelum ini dan saya memujuknya dengan menjelaskan, suntikan vaksin tidak sama dengan suntikan rawatan di klinik atau hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 2:51 PM