GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Kertas siasatan berhubung pelakon lelaki yang memukul teman wanitanya akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu depan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya ada menerima laporan polis daripada pengadu untuk menarik balik aduan terhadap pelakon terbabit.

"Bagaimanapun, kita akan serahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu depan.

"Pihak polis menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan apabila kertas siasatan dikemukakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis sudah mengambil keterangan pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian di Ara Damansara, di sini, Ahad lalu.

Shahrulnizam dipetik berkata, lelaki berusia 37 tahun itu hadir bersama bapanya jam 9 malam, kelmarin untuk direkod keterangan.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara jam 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:08 PM