SITI Rabiatul terpaksa menahan kesakitan tulang patah semata-mata untuk menerima suntikan dos kedua vaksin. FOTO Hassan Omar
SITI Rabiatul terpaksa menahan kesakitan tulang patah semata-mata untuk menerima suntikan dos kedua vaksin. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Sakit dialami akibat tulang rusuk patah sukar digambarkan. Namun seorang gadis tetap tidak mahu terlepas peluang menerima suntikan kedua dos vaksin.

Siti Rabiatul Adawiyah Razali, 18, terpaksa disorong menggunakan kerusi roda dari kediamannya di Taman Kebaya, Alor Gajah semata-mata mahu menerima suntikan itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Dengan ditemani bapa, Razali Mohd Said, 56, gadis akhirnya berjaya melengkapkan dua dos suntikan vaksin tadi.

Siti Rabiatul berkata, kecederaan dialami berpunca dia terjatuh akibat terpijak lubang di kawasan berhampiran kediamannya di Bemban, Jasin, Ogos lalu.

Bagaimanapun, ketika itu dia tidak berasa sakit sehinggalah dia membantu mengangkat perabot semasa keluarganya berpindah dari Bemban ke Taman Kebaya tiga minggu lalu.

"Tiba-tiba saya rasa sakit pada tulang rusuk kanan. Ayah segera membawa saya ke Hospital Melaka untuk menjalani x-ray sebelum doktor mengesahkan tulang itu sudah patah.

"Doktor meminta saya banyakkan berehat. Namun apabila menerima panggilan untuk menerima suntikan dos vaksin pertama tiga minggu lalu saya tidak boleh menolak. Begitu juga untuk dos kedua hari inii," katanya ketika ditemui di kompleks berkenaan.

Razali berkata, anak saya tetap tabah menghadapi dugaan itu semata-mata untuk melengkapkan suntikan vaksin.

Terdahulu, PPV berkenaan menerima lawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang meninjau pemberian vaksin untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Katanya, beliau berpuas hati dengan pemberian vaksin untuk remaja yang membabitkan beberapa sekolah menengah dalam Parlimen Masjid Tanah mulai Isnin lalu hingga hari ini.

Setakat ini, lebih 1,500 remaja sudah menerima suntikan itu manakala program suntikan vaksin untuk mereka berusia antara 12 hingga 15 tahun akan dimulakan tidak lama lagi melalui kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 4:19 PM