Kesesakan sering berlaku sebaik tamatnya perlawanan Euro 2024
Kesesakan sering berlaku sebaik tamatnya perlawanan Euro 2024
Reuters

Berlin: Menteri Pengangkutan Jerman mengkritik pengendali sistem keretapi nasional Deutsche Bahn kerana gagal menyediakan perkhidmatan yang efisien sehingga dikritik penyokong bola sepak Eropah.

" Apa yang berlaku adalah penyokong mengadu bahawa standard perkhidmatan keretapi di Jerman tidak menepati piawaian ditetapkan seperti garis panduan infrastruktur pengangkutan di negara ini, " kata Volker Wissing kepada akhbar mingguan Welt am Sonntag dalam satu wawancara.

Penyokong bola sepak Eropah menggunakan medium media sosial untuk meluahkan rasa kekecewaan terutamanya mengenai gangguan perjalanan dalam tempoh yang lama selain keretapi penuh sesak sebaik tamat perlawanan Euro 2024.

Wissing juga memberitahu bahawa menerusi perjanjian bersama Deutsche Bahn akan menyediakan 10,000 tempat duduk tambahan sepanjang tempoh berlangsungnya Euro 2024 namun semuannya adalah janji kosong saja.

Malah, cuaca hujan dan ribut juga mengganggu perjalanan pengangkutan keretapi apabila terpaksa menutup beberapa bahagian terutamanya ketika perlawanan membabitkan Jerman menentang Denmark di Dortmund.

"Rangkaian ini tidak direka untuk keadaan cuaca yang ekstrem seperti itu kerana sistem saliran tidak dapat menyerap jumlah air ini," katanya, sambil menambah bahawa pengubahsuaian akan dimulakan pada Isnin untuk memperbaiki keadaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:16 PM