Dua yang direman hari ini bagi siasatan kes meminta dan merima rasuah RM20,000. FOTO Ihsan SPRM
Dua yang direman hari ini bagi siasatan kes meminta dan merima rasuah RM20,000. FOTO Ihsan SPRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang pegawai dan dua anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM20,000.

Ia adalah sebagai balasan untuk menggugurkan satu kes penipuan.

Menurut sumber, siasatan awal dilakukan mendapati pengadu berjumpa dengan pegawai penguat kuasa berkenaan bagi melepaskan isterinya yang ditahan pada 8 Julai lalu kerana disyaki terbabit satu kes penipuan.

"Bagaimanapun pegawai berkenaan meminta pengadu untuk berurusan dengan seorang anggota penguat kuasa yang bertindak sebagai orang tengah dan diminta memberikan wang rasuah kira-kira RM20,000 melalui anggota itu.

"Pengadu menyerahkan wang pendahuluan kira-kira RM20,000 menerusi dua transaksi kepada seorang anggota penguat kuasa yang dipercayai akan dikongsikan dengan pegawai serta seorang lagi anggota penguat kuasa," katanya.

Ketiga-tiga suspek ditahan dalam operasi kira-kira jam 6 petang pada kelmarin hingga jam 12 tengah malam, semalam di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Majistret Learani Augustine membenarkan pegawai penguat kuasa lelaki berusia 30-an berkenaan direman selama tiga hari sehingga 14 Julai ini.

Seorang anggota penguat kuasa wanita berusia 20-an pula direman selama dua hari sehingga 13 Julai ini selepas permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Semalam, Majistret Irza Zulaikha Rahanuddin mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 15 Julai ini terhadap seorang anggota penguat kuasa lelaki berusia 30-an selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:33 PM