PENGURUS Sabah FC, Rafie Robert (tengah); Ong Kim Swee (kiri) dan Mohd Syazwan Imran pada sidang media di Kota Kinabalu. FOTO IHSAN SABAH FC
PENGURUS Sabah FC, Rafie Robert (tengah); Ong Kim Swee (kiri) dan Mohd Syazwan Imran pada sidang media di Kota Kinabalu. FOTO IHSAN SABAH FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Tiada pemain Sabah FC yang lain menyatakan hasrat untuk meninggalkan pasukan selepas Ramon Machado berbuat demikian, minggu lalu.

Perkara itu dijelaskan pengurusnya, Rafie Robert, ketika ditanya desas-desus yang mengatakan beberapa lagi tonggak utama Sang Badak bakal mengikut jejak Machado.

Pada sidang media, di sini, petang tadi, Rafie menganggap perkara itu hanya khabar angin susulan isu pembayaran gaji yang dikaitkan dengan Sabah FC sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya isu pembayaran gaji sudah reda selepas beliau dan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan bahawa semua pemain sudah menerima gaji sebelum perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

"Betul, selepas selesainya isu tunggakan gaji itu, timbul pula isu pemain mahu keluar. Saya boleh jawab di peringkat saya saja, di peringkat pasukan, mungkin jawapan Datuk Ong juga sama.

"Setakat ini kita tidak mendengar apa-apa permintaan ataupun tawaran daripada mana-mana kelab lain untuk membawa pemain kita keluar.

"Jadi, saya tidak boleh jawab lebih sebab perkara itu tidak sampai ke makluman kami di pihak pengurusan kelab. Jadi, saya beranggapan itu adalah khabar angin," katanya.

Turut sama pada sidang media itu ialah Kim Swee dan Ketua Pegawai Operasi Sabah FC, Mohd Syazwan Imran.

Sidang media berkenaan bagi menjelaskan beberapa isu dikaitkan dengan Sabah FC yang tular di media sosial sebelum ini, khususnya mengenai isu gaji dan kedudukan pemain.

Antara pemain yang dikhabarkan bakal mengikut jejak Machado seperti tular di media sosial ialah Darren Lok, Saddil Ramdani dan Gabriel Peres.

Machado mengakhiri kontraknya lebih awal bersama Sabah FC iaitu selepas perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Likas minggu lalu setelah bersama kira-kira setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:44 PM