RAJA Nadzrin dibantu Rozaimah keluar dari Kompleks Sukan Masjid Tanah selepas menerima vaksin. FOTO Hassan Omar
RAJA Nadzrin dibantu Rozaimah keluar dari Kompleks Sukan Masjid Tanah selepas menerima vaksin. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Seorang penghantar makanan yang cedera selepas kemalangan jalan raya sanggup menahan kesakitan asalkan berjaya divaksin.

Raja Nadzrin Shah Raja Zamli, 21, terpaksa melupakan seketika rasa kesakitan akibat kejadian 15 Julai lalu yang menyebabkan paha kanan patah.

"Sejak menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera beberapa minggu lalu, saya asyik memikirkan macam mana keadaannya saya terpaksa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam keadaan kaki yang masih terasa sakit?

"Saya kuatkan semangat untuk hadir di Kompleks Sukan Masjid Tanah semata-mata untuk tidak terlepas peluang mendapatkan vaksin," katanya ketika ditemui di PPV berkenaan, hari ini.

Dia terpaksa menggunakan kerusi roda yang disorong ibunya, Rozaimah Hamzah, 49, untuk bergerak dari tempat letak kereta ke dewan berkenaan.

"Walaupun sudah menerima rawatan, rasa sakit itu masih terasa terutama semasa saya terpaksa berdiri untuk keluar dari kereta dan masuk," kata bekas penuntut Politeknik Merlimau itu .

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sudah menerima suntikan dos pertama dan bakal menerima dos kedua pada 9 September depan.

Sementara itu, Rozaimah berkata, beliau bimbang anaknya terpaksa menanggung kesakitan ketika berjalan dan menasihatinya supaya menunda tarikh penerimaan vaksin.

"Bagaimanapun, dia tidak mahu, sebaliknya tetap bertegas mahu hadir di dewan ini untuk menerima vaksin kerana vaksin amat penting untuk membina antibodi menentang Covid-19," katanya.

Sehubungan itu, dia mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada sukarelawan serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang banyak membantu anaknya ketika mendaftar di kaunter dan menerima suntikan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 10:48 AM