SHARIFAH Nur Syasya bergambar selepas selesai menerima suntikan vaksin. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SHARIFAH Nur Syasya bergambar selepas selesai menerima suntikan vaksin. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Kanak-kanak berusia 11 tahun disahkan antara penerima suntikan vaksin Covid-19 termuda di Negeri Sembilan.

Sharifah Nur Syasya Syed Saiful yang tinggal di Taman Sri Bayu, di sini, selesai menerima suntikan dos pertama Pfizer di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pembantu Perubatan) Seremban, semalam.

Ibunya, Nur Hamizah Md Zin, 34, berkata, dia bersyukur apabila anak sulungnya itu menerima vaksin lebih awal berbanding kanak-kanak lain seusianya.

"Memandangkan anak saya dikategori sebagai golongan berisiko dan ada penyakit diabetes tahap satu sejak enam tahun lalu, maka dia dibenarkan menerima suntikan vaksin.

"Semalam pihak Hospital Tuanku Ja'afar Seremban memberitahu nama anak saya disenaraikan sebagai penerima vaksin dan ia buat saya rasa sangat lega," katanya.

Menurutnya, anaknya itu bukan saja tidak takut untuk menerima suntikan vaksin, tetapi juga sangat bersemangat ke PPV.

Dia berkata, selepas sehari anaknya itu disuntik vaksin, dia tidak alami sebarang kesan sampingan melainkan hanya sengal di tangan.

"Saya dan suami pun sudah disuntik vaksin dan kami dari awal lagi sudah beritahu kepada anak-anak yang ia tidak sakit dan perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan.

"Mereka yang ada penyakit juga tak perlu bimbang dan saya nasihatkan agar bersikap positif dalam menerima suntikan vaksin," katanya ibu empat anak itu.

Nur Hamizah berkata, pengalaman keluarganya dijangkiti Covid-19 juga membuatkan dia merasakan semua orang perlu mengambil vaksin demi kesihatan semua.

Katanya, dia bersyukur kerana ketika disahkan positif Covid-19, dia sudah divaksin yang memungkinkan gejala dialami tidak teruk.

"Saya percaya vaksin membuatkan jangkitan Covid-19 tidak teruk kerana saya hanya alami demam biasa dan jalani kuarantin di rumah.

"Walaupun saya ada penyakit tekanan darah rendah, saya bersyukur kerana keadaan saya tidak teruk seperti sesetengah orang dan saya percaya ia adalah kerana kesan vaksin sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 11:55 AM