ANGGOTA penguat kuasa DBKL melakukan tindakan khas pindah halangan dalam operasi di sekitar Segambut, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan DBKL
ANGGOTA penguat kuasa DBKL melakukan tindakan khas pindah halangan dalam operasi di sekitar Segambut, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Barang perniagaan lapan penjaja yang membuat halangan di tempat awam sekitar Segambut, di sini, disita dalam tindakan khas pindah halangan, hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan operasi itu dibuat pihaknya melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Segambut.

"Berdasarkan pemantauan dan rondaan dijalankan, sebanyak 8 penjaja dikenakan tindakan pindah halangan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Ia adalah atas kesalahan meletakkan barangan berkaitan dengan perniagaan di tempat awam.

"Antara barangan yang disita adalah gerai, trak makanan, khemah serta barang lain berkaitan perniagaan," katanya.

Menurutnya, kesemua barangan yang diambil tindakan pindah halangan itu dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, di sini, untuk rekod dan dokumentasi.

"Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang sudah dikenal pasti.

"Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan http://adukl.dbkl.gov.my untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 10:23 PM