Oleh Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Gelagat pemuda berstatus orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down yang gementar sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Balik Pulau di sini, hari ini mencuri tumpuan ramai.

Mat Ali Zakaria, 29, yang juga anak yatim piatu itu menadah tangan berulang kali memohon doa supaya segalanya berjalan dengan lancar.

Selepas disuntik, dia turut meyakinkan penerima vaksin yang duduk berhampiran bahawa suntikan itu tidak menyakitkan.

Mat Ali berkata, dia dimaklumkan oleh petugas dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang mengenai suntikan vaksin berkenaan semalam.

Katanya, dia yang tinggal bersama kakaknya di Jalan Baru di sini, dibawa ke PPV menggunakan kenderaan yang disediakan petugas pejabat itu.

"Saya nak cucuk vaksin supaya Covid-19 hilang dan kita boleh bebas berjalan macam dulu.

"Tak ada apa-apa, sakit sikit (sedikit) sahaja, sekarang dah boleh balik," katanya.

Pemuda sindrom Down, Mat Ali Zakaria, 29,  mengakui gementar sebelum menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Pemuda sindrom Down, Mat Ali Zakaria, 29, mengakui gementar sebelum menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Sementara itu, sukarelawan di PPV berkenaan yang enggan dikenali berkata, kehadiran Mat Ali cukup menginsafkan.

"Dia yang berstatus istimewa bersemangat datang ke sini bagi menerima suntikan vaksin dan diharap tiada alasan bagi individu lain untuk tidak mendapatkan suntikan," katanya.

Mat Ali antara 10 penduduk yang dibawa Adun Teluk Bahang Zolkifly Md Lazim ke PPV berkenaan sempena pelancaran Kru Prihatin Vaksin.

Kata Zolkifly, pelancaran program berkenaan adalah inisiatif bagi membantu penduduk yang tidak mempunyai kenderaan, terlepas pendaftaran dan yang tidak pernah mendaftar supaya mendapatkan suntikan.

"Penduduk kawasan Balik Pulau antara yang tertinggi mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin namun didapati hanya lapan peratus sahaja yang keluar mendapatkan suntikan.

"Program ini diharap dapat memudahkan penduduk terutama golongan OKU atau warga emas berusia 60 tahun ke atas datang ke PPV," katanya ditemui.

Menurut Zolkifly, kira-kira 200 mendaftar kurang dua jam selepas PPV berkenaan dibuka.

"Bermula esok, pasukan ini akan membantu membawa 12 warga emas dari sekitar Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan Sungai Pinang ke PPV ini bagi mendapatkan suntikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 2:01 PM