Puspa P Rajagopalmenunjukkan laporan polis dibuatnya di IPD Gombak, hari ini, berkaitan buli siber oleh tiga individu terhadap mendiang anaknya. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Puspa P Rajagopalmenunjukkan laporan polis dibuatnya di IPD Gombak, hari ini, berkaitan buli siber oleh tiga individu terhadap mendiang anaknya. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Ibu kepada pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha membuat laporan polis, hari ini, berkaitan buli siber membabitkan anak perempuannya itu.

Ibu Esha, Puspa P Rajagopal, 56, berkata, laporan itu dibuat membabitkan dua lelaki serta seorang wanita yang dikatakan memuat naik video serta membuat siaran langsung di media sosial berkaitan pempengaruh berkenaan.

"Sepanjang minggu ini, saya dimaklumkan oleh anak bahawa ada video serta siaran langsung dimuat naik oleh tiga individu berkenaan yang bercakap mengenai Esha.

"Salah seorang daripada mereka adalah wanita yang juga bekas pegawai polis wanita yang mempertikaikan Esha pernah ditahan polis sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau ditemani menantunya tiba di IPD Gombak jam 6 petang sebelum selesai membuat laporan polis serta memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kira-kira jam 8 malam tadi.

Puspa berkata, tindakan individu terbabit bercakap mengenai Esha menyebabkannya beliau mengalami sakit dada dua kali sepanjang minggu ini.

"Anak saya sudah meninggal tetapi mereka masih lagi bercakap mengenainya sampai dua kali saya mengalami sakit dada apabila melihat sendiri video serta siaran langsung berkenaan.

"Dalam siaran langsung, mereka kata anak saya kurang ajar. Mendengar kutukan mereka, saya jadi luluh hati kerana kami pun ada maruah.

"Malah, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan menteri pun sudah cakap supaya hentikan buli siber terhadap anak saya tetapi ia masih berlaku sehingga kini," katanya.

Katanya, beliau berharap pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan buli siber supaya mereka dibawa ke muka pengadilan.

"Saya harap perkara ini (buli siber) akan berhenti kerana saya tidak mahu orang lain mengalami apa yang saya lalui ketika ini sebagai seorang ibu yang kehilangan anak kerana perbuatan buli siber," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua individu ditahan kerana disyaki melakukan buli siber terhadap Esha pada 8 dan 10 Julai lalu.

Esha yang juga aktivis ditemui meninggal dunia sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan seksual diterimanya di media sosial daripada dua individu.

- ends

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 9:31 PM