Aizat Sharif

Kangar: Wanita warga emas berusia 103 tahun menjadi individu tertua di Perlis menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan 2020, di sini hari ini.

Som Raman dari Kampung Balik Guar, Chuping, Padang Besar menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech selepas tiba di dewan berkenaan kira-kira jam 3 petang ditemani menantunya, Fauziah Draman, 65.

Som ketika ditemui pemberita melahirkan kesyukuran kerana akhirnya dia berjaya menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas melihat rakan sekampungnya termasuk anak dan cucunya juga turut menerima vaksin berkenaan.

"Tak sakit sangatlah cuma rasa sengal sikit sahaja di lengan ini jadi bila dah cucuk (vaksin) ini legalah rasa.

"Jikalau cucu dan cicit hendak pulang ke kampung selepas ini, tok tidaklah rasa takut dengan risau dengan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPV Dewan 2020, di sini, hari ini.

Menantunya, Fauziah berkata, walaupun ibu mentuanya itu sudah pun menjangkau 103 tahun, namun dia masih sihat.

"Ibu mentua saya ini begitulah kesihatannya, walaupun sudah melangkaui usia 100, kadang-kadang dia senang keluar di sekeliling rumah bertemu jiran dan melihat suasana persekitaran rumah.

"Dia juga suka mengamalkan minuman asam limau dan limau nipis, manakala asam pedas adalah kegemarannya.

"Bila dia sudah divaksin ini, saya pun berasa lega kerana takut juga jika ada saudara mara atau orang yang entah datang dari kawasan mana ke rumah kita nanti berjangkit pula kepada dia," katanya.

Ibu mentuanya itu mempunyai tiga anak, lebih 20 orang cucu serta 40 cicit.

SOM dari Kampung Balik Guar, Chuping, Padang Besar menjadi individu tertua di Perlis menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Aizat Sharif.
SOM dari Kampung Balik Guar, Chuping, Padang Besar menjadi individu tertua di Perlis menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Aizat Sharif.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri perlis, Azman Moh Yusof berkata, Som menjadi individu tertua di Perlis yang menerima vaksin di PPV berkenaan hari ini.

"Dalam masa yang sama juga terdapat 35 pelajar berusia 19 hingga 20 tahun yang menerima vaksin kerana dalam persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara selepas ini.

"Bagi kes makcik Som ini, kita sebenarnya boleh ke rumahnya untuk memberikan suntikan vaksin berkenaan tetapi komitmen Puan Som bersama menantunya yang mahu menerima vaksin di PPV 2020 ini sangat membanggakan.

"Saya lihat makcik Som begitu tenang sahaja apabila mengambil vaksin ini dan ini membuktikan vaksin ini boleh diambil oleh sesiapa sahaja termasuk daripada golongan warga emas seperti makcik Som ini," katanya.

Azman berkata, sehingga semalam, seramai 27,020 orang atau 10.6 peratus sudah menerima dos pertama vaksin di Perlis manakala sebanyak 44,927 orang atau 17.62 peratus pula sudah melengkapkan dua dos vaksin seperti yang disasarkan oleh kerajaan.

Azman yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mencapai sasaran 40 peratus bagi indikator ambang nilai utama bagi negeri berkenaan melangkah ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:17 PM