Hassan Omar


Masjid Tanah: Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mahu 16 pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini menubuhkan pasukan sukarelawan pemanggil penerima vaksin Covid-19.

Pasukan itu berfungsi membuat panggilan kepada penerima vaksin, terutama warga emas bagi mengingatkan mereka mengenai janji temu untuk mengambil suntikan.

"Selain memastikan penerima peka mengenai janji temu masing-masing, ia juga mampu mempercepat pemberian vaksin mengikut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

"Ini kerana masih ada penerima vaksin yang sepatutnya menghadiri janji temu berkenaan gagal hadir di PPV kerana terlupa atau tidak tahu langsung mengenainya," katanya ketika ditemui selepas melawat operasi PPV Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Datuk Dr Ismail Ali dan Ketua Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Pakar Perunding Perubatan Keluarga Dr Norsiah Ali.

Sulaiman berkata, ketidakpekaan anak-anak menyemak janji temu ibu bapa juga menyebabkan mereka terlepas untuk menerima suntikan.

"Kak Kiah, Ramasamy yang warga emas tidak ingat atau tidak tahu langsung janji temu untuk menerima suntikan vaksin dan anak pula tidak peka untuk menyemak.

"Jadi, dengan adanya pasukan sukarelawan yang menghubungi penerima vaksin, Insya-Allah isu ketidakhadiran mereka di PPV boleh diatasi," katanya.

Beliau berkata, PPV juga boleh mencontohi Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) yang ditubuhkan Mas Ermieyati April lalu dengan yang menghubungi penerima vaksin satu atau dua hari sebelum janji temu bagi mengingatkan mereka supaya hadir untuk tujuan itu.

SULAIMAN (tengah) berbual dengan penerima vaksin ketika melawat ke PPV di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.
SULAIMAN (tengah) berbual dengan penerima vaksin ketika melawat ke PPV di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad.

Sulaiman juga berkata, lapan PPV tambahan yang dicadangkan sebelum ini, akan beroperasi secepat mungkin bagi melengkapkan enam PPV sedia ada di negeri ini.

"Saya berpuas hati dengan operasi PPV Masjid Tanah kerana aliran kehadiran penerima vaksin, pendaftaran, pemeriksaan kesihatan hinggalah menerima suntikan, saya dapati lancar," katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata, antara PPV baharu yang bakal beroperasi ialah dewan tiga Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun); dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Bukit Beruang dan dewan Universiti Multimedia Melaka (MMU) di Jalan Ayer Keroh Lama, Bukit Beruang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 1:18 PM