MAZLAN Bordani, 58 ceria selepas menerima suntikan dos pertama vaksin bersama pengamal media Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
MAZLAN Bordani, 58 ceria selepas menerima suntikan dos pertama vaksin bersama pengamal media Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Berkhatan lagi sakit," ujar spontan pengamal media, Mazlan Bordani, 58, sebaik menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan CTRM Batu Berendam, di sini, tadi.

Katanya, dia bersyukur menerima suntikan dos pertama bersama lebih 67 pengamal media Melaka selepas sekian lama menunggu.

Menurutnya, suntikan vaksin didterima jelas memberi kelegaan kepadanya dan rakan media di barisan hadapan untuk terus berkhidmat dan menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

Beliau mengakui sedikit gementar dan cemas sebelum proses suntikan vaksin dilakukan.

"Apa yang penting suntikan ini memberi keyakinan dan motivasi saya untuk terus bertugas di RTM Melaka. Malah ucapan spontan saya juga galakan kepada mereka di luar sana untuk tidak bimbang dengan proses vaksinasi.

"Justeru dalam masa sama, saya mengharapkan proses vaksin kedua pada 27 Julai hadapan akan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang komplikasi," katanya.

Hadir mengadakan lawatan di PPV berkenaan adalah Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Sementara itu, Presiden Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat berkata, selepas sekian lama menunggu akhirnya pengamal media di negeri terbabit menerima suntikan dos pertama pagi tadi.

Katanya, amat wajar pengamal media mendapatkan vaksin lebih awal berikutan tuntutan kerja yang memaksa mereka perlu 'turun padang' setiap hari bagi mendapatkan berita dan maklumat untuk disalurkan kepada umum.

Jurukamera Media Prima, Mahdi Ab Manaf , 44, turut melahirkan rasa gembira dapat menjalani suntikan vaksin selepas sekian lama menunggu dengan sabar.

Malah harapannya 100 peratus rakyat di negara ini akan menjalani proses vaksinasi berkenaan dalam usaha mencegah wabak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:40 PM